99% golongan dewasa Lembah Klang divaksin, jumlah kumulatif Malaysia melonjak kepada 23.1 juta | DagangNews Skip to main content

99% golongan dewasa Lembah Klang divaksin, jumlah kumulatif Malaysia melonjak kepada 23.1 juta

Vaksin COVID-19. Kredit foto SINDOnews

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Peratusan vaksinasi COVID-19 bagi golongan dewasa di Lembah Klang terus meningkat kepada 99.0% setakat 5 Ogos 2021.

 

Peratusan tersebut adalah yang tertinggi berbanding vaksinasi golongan dewasa di negeri-negeri lain.

 

Sebanyak 45.5% daripada peratusan tersebut telah melengkapkan dua dos suntikan bagi tempoh sama.

 

Perkembangan tersebut turut menyumbang kepada peningkatan peratusan vaksinasi golongan dewasa secara keseluruhan di negara ini kepada 64.8%.

 

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, jumlah pemberian vaksin harian yang direkodkan semalam meningkat kepada 514,674 berbanding 494,214 dos yang direkodkan pada hari sebelumnya.

 

Jumlah berkenaan meliputi 220,839 pemberian dos pertama dan 293,835 bagi pemberian dos kedua.

 

Ekoran peningkatan tersebut, jumlah kumulatif pemberian vaksin di Malaysia turut menyaksikan lonjakan kepada 23.1 juta.

 

Jumlah yang direkodkan itu terdiri daripada 15.1 juta pemberian dos pertama dan 7.9 juta bagi pemberian dos kedua.

 

Bagi rekod pemberian dos di Lembah Klang yang meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, sebanyak 6.1 juta dos telah diberikan hingga semalam.

 

Sementara itu, peratusan vaksinasi secara keseluruhan di Malaysia terus meningkat kepada 46.4% bagi dos pertama dan 24.5% bagi dos kedua. - DagangNews.com