9.9 juta rakyat tebus e-tunai berjumlah RM495 juta | DagangNews Skip to main content

9.9 juta rakyat tebus e-tunai berjumlah RM495 juta

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Seramai 9.9 juta rakyat Malaysia telah menebus e-tunai RM50 dengan jumlah keseluruhannya RM495 juta e-tunai di bawah aplikasi MySejahtera, setakat 21 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, pengguna mula menebus peruntukan itu pada 31 Julai dan akan berakhir pada 24 September.

santubong
Mohd Shahar Abdullah


"Pengguna perlu membelanjakan tawaran itu selewat-lewatnya pada 30 September ini," katanya menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung jumlah pemohon yang berjaya menebus e-tunai bernilai RM50 itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Aplikasi MySejahtera diperkenalkan ketika tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk membolehkan perjalanan antara negeri dan pengesanan kontak melalui maklumat pengguna yang didaftarkan di setiap premis.

Di bawah inisiatif ePenjana, aplikasi itu kemudian dikreditkan dengan RM50 kepada setiap pengguna.

Shahar memberi jaminan bahawa semua butiran disimpan selamat di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Terdahulu, Wong juga membangkitkan isu pelanggaran privasi dan keselamatan data kerana pengguna diminta untuk mengisi maklumat peribadi ketika mendaftar dengan aplikasi tersebut. - DagangNews.com