Abdul Mutalib Alias lepaskan jawatan Pengerusi Pelabuhan Bintulu pada 1 Mei 2023 | DagangNews Skip to main content

Abdul Mutalib Alias lepaskan jawatan Pengerusi Pelabuhan Bintulu pada 1 Mei 2023

Datuk Abdul Mutalib Alias
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 April - Datuk Abdul Mutalib Alias akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) sebaik tempoh perkhidmatan dua tahun beliau berakhir pada 1 Mei 2023.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, BPHB berkata, Abdul Mutalib yang juga pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Governors State University, Illinois, Amerika Syarikat itu telah dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya pada 1 Mei 2021.

 

Katanya, beliau sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia pada 2013 hingga 2019 dan menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Bhd pada 2012 hingga 2013.

 

"Abdul Mutalib juga pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Menteri Kerja Raya pada 2009 hingga 2011, Setiausaha Politik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (2004 hingga 2008)," katanya.

 

Menurut BPHB, beliau turut berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan pada 2000 hingga 2004 dan Naib Presiden Chase Manhattan Bank (M) Sdn Bhd (1994 hingga 2000). - DagangNews.com