ACCCIM mahu pemberian moratorium diperluaskan | DagangNews Skip to main content

ACCCIM mahu pemberian moratorium diperluaskan


 


KUALA LUMPUR 29 Jun - Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berharap kerajaan memperluaskan pemberian moratorium kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan. 

 

Ini kerana katanya, syarikat-syarikat tersebut juga terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh 'lockdown' ketika ini. 

 

"Namun, pemberian moratorium ini tanpa syarat ini hanya terhad kepada golongan B40, M40 dan T20 serta perniagaan mikro," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Semalam, kerajaan mengumumkan pemberian moratorium selama enam bulan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro mulai 7 Julai ini.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, semakan sama ada hilang pekerjaan dan dokumen perlu dikemukakan untuk permohonan moratorium kerana kelulusan akan diberikan secara automatik. 

 

Malah, kemudahan ini juga ditawarkan kepada PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.

 

Di samping itu, ACCCIM turut mencadangkan Kementerian Kewangan supaya mempertimbangkan beberapa langkah untuk mengurangkan beban yang ditanggung pembayar cukai.

 

Antaranya, termasuklah pemberian lanjutan bayaran cukai bulanan bagi syarikat Sdn. Bhd. dan individu sehingga 31 Disember 2021 bagi mengurangkan tanggungan aliran tunai syarikat.

 

"Bagi pembayaran cukai akhir pula, diharapkan ia dapat diselesaikan secara empat bulan ansuran bulanan tanpa sebarang penalti," katanya. 

 

Bagaimanapun, persatuan itu menyambut baik pakej rangsangan Pemulih bernilai RM150 bilion itu yang dilihat bertepatan dalam membantu dan meringankan beban kewangan rakyat serta mengelakkan kerosakan terhadap ekonomi.

 

"Ini dapat membantu mereka mengharungi tempoh PKP fasa pertama ini seperti digariskan di bawah Pelan Pemulihan Negara kerana Pemulih merangkumi pelbagai bentuk bantuan yang lebih komprehensif untuk semua yang terjejas," tambahnya. - DagangNews.com