ACO Tech, MARii dan Geno jalin kerjasama perkasa pembangunan ekosistem EV di Malaysia | DagangNews Skip to main content

ACO Tech, MARii dan Geno jalin kerjasama perkasa pembangunan ekosistem EV di Malaysia

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Pembekal mobiliti pintar, ACO Tech memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Geno dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) untuk mengkaji penggunaan rumusan rantaian blok bagi infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di negara ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, Li Pu berkata, pihaknya teruja dengan prospek pertumbuhan sektor mobiliti di Malaysia dengan adanya sokongan kerajaan dan polisi yang progresif. 

 

Katanya, sebagai pembekal rumusan mobiliti pintar yang utama, ACO Tech bersedia untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran kami serta menyokong semua pihak berkepentingan dalam mencapai matlamat negara. 

 

"Kami yakin kerjasama seperti ini adalah langkah ke hadapan dalam pemerkasaan ekosistem EV yang komprehensif dan kondusif untuk Malaysia, dengan penekanan pada keselamatan. Dengan menangani cabaran dan memanfaatkan peluang, Malaysia dapat memacu revolusi EV di Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz pula berkata, kerjasama kami ACO Tech, sebuah syarikat usaha sama antara Proton, ECARX, Altel Communications dan Geno merupakan langkah penting yang dapat mencorak masa depan ekosistem EV di Malaysia. 

 

Katanya, dengan meneroka rumusan rantaian blok, ia tidak hanya menangani cabaran semasa dalam sektor EV tetapi juga membina landasan untuk infrastruktur yang selamat dan boleh dikembangkan selaras dengan Dasar Automotif Kebangsaan 2020. 

 

"Kami berhasrat untuk menetapkan standard industri baharu, memajukan amalan lestari serta inovasi yang mengutamakan pengguna melalui gabungan keupayaan kami," katanya.

 

 

ev
(Dari kiri) Li Pu, Azrul Reza Aziz dan Zhang Yi Ian memeterai MoC kerjasama mengkaji penggunaan rumusan rantaian blok bagi infrastruktur EV di Malaysia.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Geno, Zhang Yi Ian berkata, inisiatif itu merupakan aplikasi industri rantaian blok yang pertama, yang mana matlamat utamanya adalah untuk memudahkan transformasi bagi perusahaan yang terlibat ke arah model yang berfokus pada perkhidmatan. 

 

"Langkah strategik ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan dengan pelanggan pengguna akhir, membolehkan interaksi yang lebih awal, mendalam dan berkekalan," katanya.

 

Sementara itu, MoC tersebut membuka jalan untuk penerokaan rumusan rantaian blok termasuk kontrak pintar, pengurusan jejak digital rantaian bekalan, rumusan tokenomik dan teknologi perlindungan privasi bagi melengkapkan penyelesaian ACO Tech untuk Platfom Perkhidmatan Mobiliti Elektrik (EMSP). 

 

Usaha itu boleh memastikan privasi dan hak milik data, membolehkan pengewangan data dan memanfaatkan pelabur strategik melalui pelaburan jangka panjang.

 

EMSP adalah teras Visi Mobiliti Terhubung Kerajaan untuk membantu memperkasa pembangunan infrastruktur EV di Malaysia. - DagangNews.com