KUALA LUMPUR 18 Nov. - Kerajaan tidak menafikan hak penggiat industri pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19.
Disebabkan itu, peruntukan sehingga RM200 juta disalurkan khusus untuk Pelan Pemulihan Pelancongan di bawah Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu.
Bagaimanapun, peruntukan itu dilaporkan terus kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) walaupun tidak diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menterinya, Nancy Shukri berkata, peruntukan yang diberikan itu bukanlah sebuah bajet tambahan, sebaliknya memang termasuk dalam peruntukan Belanjawan 2021 untuk sektor pelancongan.
“Selain itu juga ada yang tidak disentuh dalam bajet seperti kraftangan punya bajet. Kalau tahun lepas kita hanya dapat RM57 juta, tapi untuk 2021 kita dapat RM91 juta,” kata Nancy dalam temubual Belanjawan 2021.
Malah, penggiat seni seperti Aswara serta seni kraf tangan turut diberikan peruntukan masing-masing.
Di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan, antara inisiatif yang bakal dilaksanakan adalah baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, diskaun pakej pelancongan keluarga, potongan diskaun pengangkutan, diskaun membeli-belah dan perkhidmatan, diskaun pakej bagi frontliners serta Kempen Meet in Malaysia.
Nancy menyedari dan mengambil maklum keluhan penggiat industri yang tidak berpuas hati apabila peruntukan-peruntukan untuk sektor mereka tidak dibentangkan secara langsung dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini.
Susulan itu, satu sesi libat urus telah diadakan dengan pemain industri pelancongan selepas pembentangan belanjawan berkenaan, bertujuan mengulas dengan lebih terperinci mengenai Belanjawan 2021, khususnya berkaitan sektor pelancongan, seni dan budaya.
Dalam kenyataan bertarikh 12 November lalu, MOTAC mengambil maklum isu-isu yang berbangkit seperti program peningkatan kemahiran dan latihan semula (reskilling and upskilling), program Penjana, prospek pemotongan cukai, pakej rangsangan pemulihan, bantuan kepada industri membeli-belah dan peruncitan, bantuan kepada pemandu pelancong serta peruntukan kepada bidang seni visual.
Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) juga menyatakan bahawa industri tersebut amat memerlukan lebih banyak pengecualian cukai.
"Industri pelancongan dan perhotelan masih rapuh, sukar untuk bertahan sendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Yap Lip Seng menurut Berita Harian.
Pada pembentangan Belanjawan 2021 lalu, Tengku Zafrul mengumumkan beberapa peruntukan untuk sektor pelancongan seperti RM50 juta bagi kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara.
Mengulas mengenai peruntukan RM200 juta berkenaan, Presiden Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia, Zuhaime Muhamad Sori berharap supaya MOTAC turut memberi keutamaan kepada pengusaha inap desa dan produk bersifat pelancongan di luar bandar.
Ujarnya, ramai antara mereka yang hilang pendapatan sejak Mac, malah tidak layak menerima bantuan RM3,000 yang diberikan kepada usahawan kerana tidak tergolong sebagai entiti perniagaan. - DagangNews.com