ADB : KDNK Malaysia diunjur 6% tahun ini | DagangNews Skip to main content

ADB : KDNK Malaysia diunjur 6% tahun ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 April - Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 6% tahun ini dan kembali stabil pada 5.7% pada 2022, menurut Asian Development Bank (ADB) dalam laporan Prospek Pembangunan Asia 2021 edisi April yang dikeluarkan hari ini.

 

Pada 2020, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup 5.6% setelah 3 suku berturut-turut mencatat pertumbuhan negatif akibat krisis pandemik COVID-19. 

 

Menerusi laporan itu, ADB berkata, pelancaran vaksin COVID-19 akan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara tahun ini di samping usaha pengukuhan fiskal dan dasar monetari.

 

Pada masa sama, katanya, keyakinan pengguna dan perbelanjaan modal yang semakin pulih akan membantu menggerakkan aktiviti domestik manakala peningkatan permintaan global akan merangsang eksport dan pelaburan asing.  

 

"Bagaimanapun, penularan wabak COVID-19 akan menjadi risiko utama kepada pertumbuhan, beserta faktor lain seperti kelewatan yang tidak dijangka dalam pelancaran vaksin dan pemulihan yang lebih rendah dalam kalangan negara ekonomi maju. 

 

"Tidak dinafikan, perkembangan vaksin yang positif dapat menyuntik keyakinan tetapi ketidaktentuan masih kekal ada dari segi pengagihannya sama ada di peringkat global mahupun domestik. 

 

"Apa yang lebih membimbangkan, jika langkah sekatan dilaksanakan semula ke atas rangkaian bekalan yang mana ini sekali gus akan melambatkan usaha pemulihan dalam aktiviti pembuatan," katanya dalam laporan berkenaan.

 

Menurutnya, pertumbuhan penggunaan swasta akan disokong oleh pakej rangsangan kerajaan dan program vaksinasi yang berkesan. 

 

Pada 17 Mac lalu, kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan tambahan RM20 bilion (menerusi Pemerkasa) bagi mengurangkan beban isi rumah dan perniagaan. 

 

Kerajaan juga, katanya, telah memulakan program vaksinasi pada Februari dan merancang untuk menvaksinkan kira-kira 80% daripada 32 juta populasi penduduk di negara ini dalam tempoh 12 bulan.

 

"Meskipun, pelancaran vaksin sepatutnya dapat meningkatkan keyakinan pengguna tetapi perbelanjaan masih kekal tidak berubah sehinggalah pasaran buruh kembali stabil," katanya.

 

Bank itu juga berpendapat, pemulihan dalam pelaburan dijangka sederhana memandangkan aktiviti pembinaan yang beroperasi semula kemungkinan berdepan dengan langkah sekatan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

"Aktiviti pembinaan yang beroperasi semula bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT 2 dan Lebuh raya Pan Borneo dijangka meningkatkan pelaburan awam tahun ini," tambahnya lagi.

 

ADB menjangkakan inflasi akan kembali pada tahun ini dan 2022 didorong harga minyak mentah dan komoditi yang tidak menentu dan juga langkah kawalan harga di peringkat domestik. 

 

Inflasi diunjur meningkat 1.8% pada 2021, katanya. 

 

"Pemulihan yang sederhana bagi harga komoditi dan tenaga di peringkat global dan aktiviti ekonomi yang kembali normal dijangka meningkatkan harga pengguna sebanyak 2% pada 2022," jelas bank itu.

 

Malah, ia turut mengunjurkan lebihan akaun semasa dijangka kekal mencatat lebihan dalam tempoh terdekat dengan kira-kira 4% kepada KDNK bagi 2021 dan 2022. - DagangNews.com