AEON Credit dapat kelulusan beli syarikat broker insurans | DagangNews Skip to main content

AEON Credit dapat kelulusan beli syarikat broker insurans

KUALA LUMPUR 17 Ogos - AEON Credit Service (M) Bhd memperoleh kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengambil alih 100% kepentingan saham Insurepro Sdn Bhd.

 

Ia mewakili 1.44 juta saham biasa baharu bagi pertimbangan tunai bernilai RM1.7 juta (penjualan saham).

 

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada potensi pelarasan tertentu sebaik penjualan saham dan proses ketekunan wajar dimuktamadkan, di samping terma dan syarat yang disediakan dalam perjanjian penjualan saham dimeterai antara AEON Credit serta Trans Dimension Sdn Bhd.

 

"Penjualan saham dijangka akan diselesaikan menjelang akhir Oktober 2021 dan Insurepro akan menjadi anak syarikat milik penuh AEON Credit sebaik ia muktamad," kata AEON Credit dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

 

Insurepro secara prinsipal terbabit dalam perniagaan pembrokeran insurans dan takaful, dengan perniagaan utama tertumpu kepada menyediakan perkhidmatan insurans komprehensif kepada industri strategik serta khusus di Malaysia, khususnya Sarawak. - DagangNews.com