Agenda Nasional Malaysia Sihat dilaksana dalam dua penggal selama 10 tahun - PM | DagangNews Skip to main content

Agenda Nasional Malaysia Sihat dilaksana dalam dua penggal selama 10 tahun - PM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Nov - Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) akan dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, bermula tahun ini sehingga 2030 dan pelaksanaannya dibahagikan kepada dua penggal.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penggal pertama bermula pada tahun 2021 sehingga tahun 2025, manakala penggal kedua bermula pada tahun 2026 dan akan berakhir pada 2030.

 

Beliau berkata, agenda itu membabitkan empat teras utama, 10 strategi dan 24 inisiatif.

 

"Empat teras utama adalah memantapkan promosi pembudayaan hidup sihat, memantapkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, memperkasakan kawalan kesihatan kendiri dan memantapkan kebersihan persekitaran.

 

"Bagi menjayakan ANMS, kerajaan mengambil pendekatan 'Whole of Nation' (keseluruhan negara) dengan menjalinkan kerjasama yang erat dengan semua pihak untuk bergerak sebagai rakan strategik," katanya ketika berucap melancarkan ANMS, hari ini.

 

anms

 

Perdana Menteri berkata, ANMS dilaksanakan bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara (PPN) COVID-19 dan ia merupakan merupakan pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sebagai penggerak utama, dan disertai secara langsung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
 

 

Beliau berkata, agenda diterajui dua kementerian ini merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik COVID-19.

 

Beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab merangka hala tuju, strategi dan initiatif ANMS, manakala pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah penggerak kepada strategi serta usaha yang telah dirangka atau inisiatif yang diperkenalkan. 

 

"Saya menaruh harapan tinggi bahawa, menerusi ANMS, Keluarga Malaysia akan terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, kekal dengan kehidupan norma baru, mengambil vaksin serta mengamalkan kawalan kesihatan kendiri, seperti menjalani ujian dan kuarantin jika bergejala atau menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19. 

 

"Keluarga Malaysia perlu membudayakan hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat, dan menjaga kesihatan mental untuk mengukuhkan daya ketahanan badan melawan penyakit," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan untuk membentuk Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan dan melalui dasar tersebut beberapa inisiatif akan dilaksanakan termasuklah penganjuran program kesedaran penjagaan kesihatan yang akan dipergiat melalui pelbagai platform, pada semua peringkat dengan memanfaatkan fasiliti di bawah pelbagai agensi.

 

Beliau berkata, bagi memastikan literasi kesihatan Keluarga Malaysia dapat dipertingkatkan, program pembangunan keupayaan Ejen Kesihatan Komuniti (MyCHAMPION) akan diperkukuhkan, terutamanya dalam usaha pendidikan dan promosi kesejahteraan kesihatan. 

 

"Contohnya, Keluarga Malaysia dalam kalangan B40 akan mendapat akses kepada maklumat kesihatan, memahami kepentingan penjagaan kesihatan, dan melakukan saringan kesihatan percuma melalui program skim PekaB40. 

 

"Ini membolehkan kita mengenalpasti risiko kesihatan lebih awal dan menjalani intervensi kesihatan sama ada di Wellness Hub (Hub Sejahtera), klinik kesihatan dan hospital mengikut status kesihatan," katanya.-DagangNews.com