Ageson ada bukti bekas pengarah urusan, 6 individu lain ‘seleweng’ projek | DagangNews Skip to main content

Ageson ada bukti bekas pengarah urusan, 6 individu lain ‘seleweng’ projek

TAPAK pembinaan yang sepatutnya menyaksikan pembangunan projek apartmen 44 tingkat. 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 April – Ageson Berhad, sebelum ini dikenali sebagai Prinsiptek Corporation Berhad mempunyai bukti kukuh yang menguatkan tuntutan mahkamah kumpulan ke atas bekas pengarah urusannya, Datuk Foo Chu Jong; bekas pengarah eksekutif, Foo Chu Pak dan lima individu lain atas pelanggaran kewajipan statutori.

 

Kumpulan syarikat itu mendedahkan firma yang pakar dalam isu-isu korporat, Ferrier Hodgson MH Sdn. Bhd. telah menyelesaikan forensik audit ke atas kos sebuah projek yang dikeluarkan bekas anak syarikatnya , Prinsiptek (M) Sdn Bhd (“PMSB”), di mana melibatkan ketujuh-tujuh individu berkenaan.

 

Projek itu merupakan sebuah kontrak yang diberikan oleh Qaiser Harta PMC kepada PMSB pada tahun 2016 yang melibatkan pembinaan blok apartmen 44 tingkat di Sentul, Kuala Lumpur bernilai RM330.3 juta.

 

Ageson dalam sebuah kenyataan menggariskan beberapa penemuan hasil daripada forensik audit, termasuk,PMSB hanya mengeluarkan satu perkembangan bil projek berjumlah RM11.5 juta kepada Qaiser Harta PMC pada tahun kewangan 2018 (FY18).

 

“PMSB kemudian mengenakan caj sebahagian daripada kos (projek) sebanyak RM8.8 juta dan keuntungan sebanyak RM2.6 juta pada FY18. Kos pembinaan sebanyak RM23.7 juta yang ditanggung oleh PMSB setakat 30 Jun 2019 tidak sepadan dengan perkembangan bil yang dikeluarkan oleh juru ukur kuantiti projek , di mana telah mengesahkan kerja-kerja awal hanya bernilai RM2.8 juta dan kerja memantakkan tiang berjumlah RM8.6 juta untuk projek itu, pada 22 November 2017.

 

“Lebih daripada 93% pembayaran atau RM22.6 juta oleh PMSB setakat 31 Oktober 2019 merupakan yuran rundingan, dibuat  kepada Maju Holdings Sdn. Bhd. (syarikat yang terlibat dalam penyewaan dan pemajakan mesin) serta Rapi Mulia Sdn. Bhd. (kontraktor projek), masing-masing 67.3% dan 26.0%,” jelas Ageson.

 

Dalam pada itu, selain daripada 11 invois yang dikeluarkan MH Maju dan sijil perkembangan kerja oleh PMSB, Ferrier Hodgson juga tidak menemui dokumen lain yang dapat membuktikan invois dikeluarkan serta nilai kerja oleh MH Maju yang disahkan oleh PMSB.

 

Tambah kenyataan itu, banyak cek dikeluarkan kepada MH Maju dan dilunaskan oleh bank pada hari yang sama.

 

Ageson
TIADA pembangunan sejak Jun 2018, hasil lawatan kakitangan bebas yang dijemput Ageson.

 

Kata Ageson lagi, terdapat beberapa kali juga penerimaan cek yang mempunyai jumlah sama dengan cek dikeluarkan kepada MH Maju, dimasukkan ke dalam akaun bank PMSB sebaik sahaja ia dilunaskan.

 

Sementara itu, Jawatankuasa Audit Ageson memberitahu, penemuan itu menguatkan tuntutan mereka terhadap Chu Jong, Chu Pak dan lima individu lain atas tuduhan pelanggaran undang-undang dan konspirasi untuk menjejaskan syarikat.

 

“Sekarang ini jelas bahawa Chu Jong gagal melaksanakan tugasnya sebagai pengarah urusan dengan membayar RM23.7 juta sebagai pertukaran kepada nilai kerja, RM11.5 juta. Pada 2 April, kami telah menjemput kakitangan bebas untuk melawati tapak pembinaan tersebut dan gambar yang diambil menunjukkan tiada pembangunan sejak Jun 2018.

 

“Kenapa perlu seseorang membayar RM16.10 juta yuran rundingan kepada MH Maju dan Rapi Mulia apabila anggaran keuntungan hanya bernilai RM22.04 juta? Memandangkan Ageson mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam pembangunan industri hartanah serta pembinaan, adakah jumlah rundingan itu benar-benar diperlukan?” soal jawatankuasa itu.

 

Tambah jawatankuasa tersebut, Ageson sentiasa berusaha untuk memartabatkan prinsip pentadbiran korporat yang kukuh dan menerapkan budaya perniagaan bertanggungjawab, bagi menyokong ekonomi moden dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bertaraf dunia. – DagangNews.com