Agihan pendapatan Hektar REIT 0.90 sen | DagangNews Skip to main content

Agihan pendapatan Hektar REIT 0.90 sen

Hektar REIT

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Pihak pengurusan Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), Hektar Asset Management Sdn. Bhd. mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 0.90 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

 

Hektar REIT berkata, ia membabitkan jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM4.2 juta.

 

"Hektar REIT sebelum ini menangguhkan bayaran dividen kepada pemegang saham kami untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 kerana REIT dilarang membuat bayaran dividen hingga penyelesaian penuh pembayaran faedah/keuntungan dalam semua kemudahan pembiayaan kepada pemodal kami iaitu Malayan Banking Berhad dan Maybank Islamic Berhad.

 

"Ia berlaku susulan penangguhan sementara dari semua pembayaran keuntungan sejak Mei hingga Oktober 2020 iaitu dalam tempoh moratorium," jelas Hektar REIT dalam satu kenyataan hari ini.

 

Meskipun berdepan dengan tahun yang mencabar pada 2020, Hektar REIT telah melakukan yang terbaik untuk mencipta nilai kepada pemegang unit hingga berjaya mengumumkan agihan pendapatan berjumlah RM4.2 juta.

 

Penularan COVID-19 yang telah mempengaruhi industri runcit turut melibatkan sektor REIT.

 

Bagaimanapun, Hektar REIT tetap komited untuk mengekalkan dasar pengagihan sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatan yang dapat diagih.

 

"Menjadi portfolio kami dalam pemulihan tahun ini untuk memberi tumpuan bagi memastikan keselamatan pembeli dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ketat di pusat beli-belah kami.

 

"Ia juga bagi memastikan pusat beli-belah kami kekal relevan dengan pelbagai kaedah penyesuaian semula penyewaan dan inisiatif peningkatan optimum aset lain," jelas Hektar REIT lagi. - DagangNews.com