Agong berkenan Muhyiddin jadi `caretaker PM' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik | DagangNews Skip to main content

Agong berkenan Muhyiddin jadi `caretaker PM' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik

KUALA LUMPUR 16 Ogos  - KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga penggantinya dilantik.

 

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Agong memaklumkan baginda telah menerima surat perletakan jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuatkuasa hari ini.

 

''Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2) (a) dan 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaat Menteri,'' kata kenyataan tersebut.

 

Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Kemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangai pandemik COVID-19.

 

Selaku Ketua Utama Negara, Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara serta menghprmati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

 

Seri Paduka Badinda juga berpendapat pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

 

''Seri Paduka Baginda menerima sembah maklum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa sehingga 10 Ogos 2021, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79%) adalah zon merah COVID-19.

 

''Pada masa yang sama, baginda turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan,'' titah baginda. 

 

Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah menganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam pandemik COVID-19.

 

Seri Paduka Baginda juga menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri segera. 

 

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh pada pukul 11 pagi. - DagangNews.com