Agong : Ismail Sabri terima sokongan 114 Ahli Parlimen | DagangNews Skip to main content

Agong : Ismail Sabri terima sokongan 114 Ahli Parlimen

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah 

 

 

KUALA LUMPUR 13 Sept - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengesahkan seramai 114 Ahli Parlimen menyokong pencalonan Datuk Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

 

Jelas Tuanku, selepas proses pemilihan PM baharu berjalan Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima majoriti tertinggi untuk dilantik ke jawatan nombor satu negara.

 

“Menerusi surat-surat akuan tersebut beta mendapati seramai 114 ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yakob, Ahli Parlimen Bera.

 

“Pada 19 Ogos 2021, setelah menerima menghadap semua 114 ahli Dewan Rakyat tersebut, Beta telah berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Bera adalah dengan kerelaan mereka sendiri serta dengan tanpa sebarang paksaan, jumlah ini adalah merupakan jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” kata Baginda lagi.

 

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian semasa pembukaan persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini.

 

Tuanku juga menggesa supaya kerajaan baharu yang dipimpin Ismail Sabri membuktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari dan menyeru semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

 

“Beta percaya kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama. Melangkah ke hadapan Beta ingin menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

 

“Justeru Beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara. Disini beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha-usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu, kerjasama dwipartisan antara semua pihak yang bakal membentuk lanskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara,” ujarnya lagi.

 

Jelasnya lagi, amalan dan budaya politik matang tersebut dituntut oleh rakyat dan mengulangi sekali lagi ‘yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua’.

 

“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat Beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi ‘biduk lalu kiambang bertaut, sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua,” katanya lagi.

 

Dalam mendepani cabaran ke arah memulihkan keadaan ekonomi dan kehidupan rakyat, Tuanku menggesa semua pihak untuk mengamalkan kesepakatan dan perpaduan antara satu sama lain.

 

“Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah keluarga Malaysia sahajalah kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh,” tegasnya. - DagangNews.com