AGX Group sasar RM33.78 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

AGX Group sasar RM33.78 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Rozalila (enam dari kiri) bersama Ponnudorai Periasamy (empat dari kiri) pada majlis pelancaran prospektus AGX Group di Kuala Lumpur hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Jan - AGX Group Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM33.78 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 7 Februari 2024.

 

Sebanyak RM16.44 juta daripada hasil yang diraih akan digunakan untuk menambah keperluan modal kerja manakala RM8.7 juta akan dimanfaatkan bagi pengembangan perniagaan di Malaysia dan Korea Selatan.

 

Ini termasuk membuka gudang dan pejabat di Pulau Pinang dan Johor Bahru di samping mewujudkan sebuah pejabat di Busan, Korea Selantan.

 

Bakinya berjumlah RM4.14 juta dan RM4.5 juta masing-masing akan digunakan bagi pembayaran hutang pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian.

 

Menerusi modal saham yang diperbesarkan sebanyak 432.87 juta dan harga IPO sebanyak 35 sen sesaham, kumpulan itu akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM151.5 juta selepas penyenaraian.

 

Pengerusi AGX Group, Datuk Rozalila Abdul Rahman berkata, beliau berbangga dengan apa yang telah dicapai syarikat hari ini yang telah mencatatkan banyak perkembangan dalam perniagaan logistik.

 

"Bukan sahaja serantau, kita juga menyaksikan usaha sama dengan All-Link China bagi penyediaan khidmat logistik di Asia Tenggara, pendaftaran Non-Vessel Operating Common Carrier (NVOCC) oleh Suruhanjaya Maritim Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan pendaftaran status ejen kargo Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

 

"Ini adalah syarikat Malaysia yang bersaing di peringkat serantau terutamanya dalam perniagaan logistik aeroangkasa di mana pesaing kami adalah beberapa syarikat multinasional (MNC) gergasi," katanya yang juga Pengarah Bukan Eksekutif Bebas AGX Group.

 

Rozalila bersama Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AGX Group, Datuk Ponnudorai Periasamy melancarkan prospektus syarikat di sini hari ini.

 

AGX Group adalah penyedia perkhidmatan logistik pihak ketiga (3PL), merangkumi penghantaran pengangkutan laut dan udara, logistik aeroangkasa, pergudangan dan perkhidmatan pengangkutan di jalan raya.

 

Syarikat itu beroperasi secara fizikal di Malaysia, Filipina, Korea, Myanmar, Singapura dan Kemboja (menerusi syarikat bersekutu), menyediakan penghantaran barangan dari tempat asal ke destinasi akhir mereka.

 

Di samping itu, perkhidmatan logistik aeroangkasa AGX Group membabitkan koordinasi pengangkutan udara untuk bahagian, komponen dan peralatan pesawat.

 

TA Securities ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO AGX Group.- DagangNews.com