Pansar peroleh kontrak RM30 juta mengurus bangunan muzium Sarawak | DagangNews Skip to main content

Pansar peroleh kontrak RM30 juta mengurus bangunan muzium Sarawak

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 17 Mei - Pansar Bhd memperoleh kontrak RM30.1 juta bagi mengurus dan penyelenggaraan kemudahan bagi Muzium Kebudayaan Borneo dan bangunan tambahan di Kompleks Muzium Sarawak di Kuching.

 

Syarikat penyedia rumusan kejuruteraan yang juga berpangkalan di Sarawak itu berkata, kontrak berkenaan yang dianugerahkan oleh Jabatan Kerja Raya negeri, melibatkan perkhidmatan awam, struktur dan seni bina, serta perkhidmatan mekanikal, elektrik, landskap dan pengemasan.

 

"Pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan adalah kawasan tumpuan strategik baharu untuk Pansar," kata kumpulan itu dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Pansar berkata projek itu akan berjalan selama 39 bulan mulai 27 Mei, dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan.



 

unisza

 

 

Sejak awal tahun ini, Pansar telah mengumumkan tiga anugerah projek kontraktor dengan nilai keseluruhan RM429.20 juta, yang kesemuanya terletak di Sarawak.

 

Bulan lalu, Pansar memperoleh kontrak RM269.1 juta untuk menaik taraf kapasiti loji rawatan air di Sibu daripada Lembaga Air Sibu melalui tender terbuka.

 

Pada Februari, kumpulan itu memperoleh kontrak RM129.98 juta untuk membina pusat penyakit berjangkit di Muara Tuang Land di Sungai Jernang, Samarahan daripada Borneo Development Corp (Sarawak) Sdn Bhd. - DagangNews.com