Ahmad Zulqarnain Onn sah jadi CEO KWSP, lepaskan jawatan Presiden & Ketua Eksekutif PNB | DagangNews Skip to main content

Ahmad Zulqarnain Onn sah jadi CEO KWSP, lepaskan jawatan Presiden & Ketua Eksekutif PNB

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Jan - Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan peletakan jawatan Ahmad Zulqarnain Onn sebagai Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan berkuatkuasa 16 Februari 2024.

 

Setelah lebih daripada tiga tahun bersama PNB, Ahmad Zulqarnain Onn akan menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

 

Pengumuman Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan baharu untuk PNB akan dibuat dalam masa terdekat, menurut PNB dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sepanjang perkhidmatan sebagai Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan, beliau memainkan peranan penting dalam memajukan mandat PNB, mencatat pencapaian penting perniagaan dan dalam memupuk inovasi.

 

Menurut kenyataan PNB lagi, Ahmad Zulqarnain amat berdedikasi dalam mengukuhkan kepercayaan negara terhadap PNB dan memperbaharui matlamat menyeluruh organisasi: Untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.


 

Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda
             Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda

 


Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda melahirkan penghargaan kepada Ahmad Zulqarnain yang akan meninggalkan PNB dengan menyatakan, “Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan di PNB, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Zulqarnain atas sumbangannya yang tidak ternilai kepada PNB, ASNB dan Kumpulan syarikat PNB sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di sini.

 

Menurutnya, kepimpinan beliau telah memainkan peranan penting dalam menyusun pelan strategik tiga tahun yang baharu dan mengemudi PNB ke arah meningkatkan pulangan portfolio, ketangkasan operasi, memperkukuh keupayaan organisasi untuk menjadi progresif dan bertindak balas secara berkesan kepada cabaran yang dinamik.

 

"Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam peranan baharunya,” ujar Arshad. - DagangNews.com