KUALA LUMPUR 10 Sept - AIA Public Takaful Bhd isytihar jumlah lebihan agihan tertinggi sebanyak RM70.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY2023) yang memanfaatkan lebih daripada 467,000 pemegang sijilnya.
Syarikat takaful itu berkata, lebihan agihan daripada dana risiko peserta tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 63% berbanding tahun sebelumnya.
Lebihan agihan takaful adalah ciri yang ditentukan dan diisytiharkan oleh pengendali takaful, sekiranya ada yang terhasil daripada dana risiko peserta setelah ditolak semua tuntutan yang perlu dibayar, rizab berkanun dan keperluan modal solvensi.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA Public Takaful, Elmie Aman Najas, berkata, pencapaian itu adalah bukti pengurusan kewangan syarikat yang kukuh, prestasi pelaburan yang cemerlang dan keupayaannya untuk berkembang dalam persekitaran pasaran yang mencabar dan serba dinamik.
"Lebihan agihan ini mencerminkan nilai takaful yang bukan hanya memanfaatkan pelanggan yang membuat tuntutan malah pelanggan yang tidak membuat tuntutan juga dapat menerima bahagian lebihan agihan mereka secara adil dan saksama," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut AIA Public Takaful, pelanggan yang menyertai pelan terpilih juga diberikan pilihan untuk mendermakan lebihan agihan yang layak kepada badan kebajikan.
"Bagi tahun kewangan berakhir 2023, lebih daripada 10,000 pelanggan telah memilih untuk menyumbangkan lebihan agihan mereka yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.2 juta kepada Tabung Amal Penyala Harapan AIA Public Takaful," katanya.
Mengulas tentang sumbangan pelanggan kepada Tabung Amal Penyala Harapan, Elmie berkata, dana itu akan memberikan impak berpanjangan dan memperkukuh usaha-usaha amal bagi menyokong kehidupan golongan yang memerlukan di Malaysia.
"Kami berharap untuk meneruskan usaha kami dalam menawarkan penyelesaian serta perkhidmatan patuh syariah yang memperkasakan rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna,” ulas Elmie.
Sementara tu, syarikat itu berkata, jumlah lebihan agihan akan dikongsi secara saksama dalam kalangan peserta yang layak berdasarkan caruman, jumlah perlindungan dan tempoh sijil mereka, dengan syarat sijil tersebut kekal berkuat kuasa dan tiada tuntutan dibuat sepanjang tahun kewangan berkenaan.- DagangNews.com