AirAsia, Agoda berkolaborasi kongsi inventori penerbangan dan hotel | DagangNews Skip to main content

AirAsia, Agoda berkolaborasi kongsi inventori penerbangan dan hotel

 Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Platform perjalanan dalam talian Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia), AirAsia.com menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi pelancongan dalam talian, Agoda untuk memacu permintaan perjalanan di Asia Tenggara.

Kerjasama antara kedua-dua penyedia perkhidmatan pelancongan dalam talian berkenaan dapat memanfaatkan kekuatan platform digital masing-masing melalui perkongsian inventori penerbangan dan hotel untuk menawarkan akses pelbagai tawaran produk dan kemudahan kepada para pelancong.

 

Tony Fernandes
Tony Fernandes

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh pihaknya untuk meningkatkan permintaan perjalanan sementara sempadan di Asia Tenggara dijangka dibuka dalam masa terdekat.

“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memberi lebih kemudahan, pilihan dan nilai kepada tetamu kami, terutamanya dalam situasi pasca COVID-19 ini. 

“Situasi ini juga memberikan peluang kepada kami untuk bekerjasama secara inovatif dengan rakan strategik seperti Agoda bagi menawarkan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup lebih baik kepada para tetamu. 

“Selain itu, kami juga akan meningkatkan kerjasama strategik dengan pemain industri dan akan mengumumkannya pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

SNAP

 

Inisiatif daripada kerjasama tersebut merangkumi pakej perjalanan, keistimewaan keahlian dan juga pemasaran produk bersama. 

Para pelanggan AirAsia.com kini dapat menikmati lebih banyak pilihan penginapan daripada Agoda melebihi 600,000 dengan tempahan melalui SNAP, yang menawarkan pakej penerbangan dan hotel dengan nilai terbaik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agoda, John Brown melihat permintaan perjalanan terus meningkat, dan kerjasama tersebut akan memberikan lebih banyak tawaran dan melancarkan perjalanan pelancong.

 

John Brown
John Brown

 

“Kami mementingkan inovasi dalam aspek kerjasama, teknologi, cara tempahan dibuat dan pengalaman perjalanan. Kerjasama antara kedua-dua jenama pelancongan terkenal di Asia Tenggara ini dijangka akan memberi impak lebih luas, seterusnya memberi keyakinan kepada penyedia penginapan, penyedia hospitaliti dan pemain industri penerbangan yang berkaitan. 

"Justeru, kerjasama secara inovatif amat penting untuk kita bersama-sama mencari penyelesaian dan memacu permintaan perjalanan  sekali gus membantu industri pelancongan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan sama. - DagangNews.com