AirAsia, bukan sekadar syarikat penerbangan tambang murah lagi - Tony | DagangNews Skip to main content

AirAsia, bukan sekadar syarikat penerbangan tambang murah lagi - Tony

 

 

KUALA LUMPUR 28 Mei - Pendapatan platform digital bukan syarikat penerbangan AirAsia Group bagi suku pertama 2021 telah meningkat dengan ketara. 

 

Airasia super app mencatatkan peningkatan sebanyak 45% tahun ke tahun untuk pendapatan suku tahunan berjumlah RM10 juta berikutan pengembangan produk dan perkhidmatan yang kukuh di platform ini. 

 

Pendapatan Teleport, cabang logistik e-dagang syarikat penerbangan tersebut turut meningkat 3 kali ganda berbanding suku terakhir tahun 2020.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kumpulan kini menerajui dan mendemokrasikan industri ini sekali lagi lagi melalui airasia super app yang menawarkan lebih daripada 17 produk perjalanan dan gaya hidup melalui ekosistem AirAsia.

 

“Melalui ekosistem digital kami, kami telah menyediakan ribuan pekerjaan dan menyokong lebih daripada 3,500 PKS di Malaysia. 

 

"Pusat latihan, AirAsia Academy (dikenali sebagai Redbeat Academy), menawarkan kursus latihan digital dan teknologi dengan kadar berpatutan untuk melengkapkan bukan sahaja kakitangan kami, malah PKS dan orang awam, dengan kemahiran teknologi di Malaysia dan di peringkat global dalam dunia digital yang sentiasa berubah ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, hanya dalam masa satu tahun lebih, AirAsia menjadi salah satu daripada tiga agensi pelancongan dalam talian (OTA) terkemuka di ASEAN berdasarkan trafik laman web, dengan lebih daripada 100 juta paparan setiap bulan di airasia.com. 

 

Perniagaan bukan syarikat penerbangan lain termasuklah airasia food, airasia fresh, airasia shop dan restoran francais Santan berkembang ke pasaran baharu untuk memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah, memberikan nilai dan kemudahan yang lebih baik. 

 

"Baru-baru ini, kami melancarkan airasia beauty, airasia health dan airasia money - penyelesaian teknologi kewangan baharu yang menawarkan produk kewangan kos rendah seperti permohonan kad kredit, pinjaman peribadi, insurans, pelaburan, perkhidmatan kiriman wang, tambah nilai, dan pembayaran bil melalui rakan kongsi kami. 

 

"Kami juga mempunyai rancangan besar untuk mengembangkan BigPay sebagai bank maya terbaik di rantau ini dan memanfaatkan sepenuhnya potensi program kesetiaan kami BIG Rewards sebagai platform ganjaran terbaik di Asean dan lain-lain," katanya.

 

Tony berkata, kumpulan turut merancang untuk melancarkan produk dan perkhidmatan yang popular di airasia super app ke lebih banyak pasaran di ASEAN. 

 

Sebagai contoh, katanya, airasia food telah berkembang ke Singapura pada Mac 2021, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu pada Mei 2021 dan tidak lama lagi di Indonesia dan Thailand.

 

Airasia beauty pula telah dilancarkan di Malaysia dan Indonesia. 

 

"Kami berusaha untuk memperluas perkhidmatan kesihatan kami di Thailand, Indonesia dan Filipina, selain menawarkan kombo penerbangan dan hotel SNAP di Vietnam dan Singapura dalam masa terdekat.

 

“Teleport pula terus berkembang pesat. Kini ia bukan sahaja menyediakan perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama, malah turut menghantar vaksin di Malaysia dan di sekitar rantau ini, selain mewujudkan lebih daripada 4,000 peluang pekerjaan sebagai rakan penghantar di 17 pasaran utama," tambahnya.

 

Menurut beliau, AirAsia telah berkembang daripada sebuah syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di Asia, kepada platform perjalanan dan gaya hidup sehenti melalui transformasi digital.

 

Malah, katanya, terdapat banyak lagi inovasi baharu dalam perancangan termasuklah perkhidmatan e-panggilan iaitu airasia ride, yang akan dilancarkan dalam beberapa bulan lagi, serta potensi perkhidmatan penghantaran melalui dron dan pesawat elektrik atau hidronik pada masa hadapan selari dengan visi AirAsia untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan memastikan kelestarian kepada para pelanggan.

 

Untuk perniagaan syarikat penerbangan, Asia Digital Engineering (ADE) bakal menjadi salah satu penyedia penyelenggaraan dan baik pulih pesawat yang menawarkan nilai terbaik di rantau ini untuk penyelenggaraan talian jangka pendek dan penyelenggaraan berat jangka panjang, yang sebelum ini dikuasai oleh penyedia penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) yang berpusat di Singapura. 

 

"Saya yakin ADE akan menjadi syarikat penyelenggaraan/baik pulih pesawat terkemuka di rantau ini dalam masa terdekat dengan peluang pertumbuhan yang berpotensi besar di Asean dan global dengan kecemerlangan perkhidmatan dan kos terendah," katanya. - DagangNews.com