AirAsia dinobat syarikat penerbangan tambang rendah terbaik Asia kali keenam berturut-turut | DagangNews Skip to main content

AirAsia dinobat syarikat penerbangan tambang rendah terbaik Asia kali keenam berturut-turut

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept -  AirAsia dinobatkan sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik Asia buat kali keenam berturut-turut dan kru kabin penerbangan tambang rendah terbaik kali ketujuh berturut-turut pada World Travel Awards 2022 ke-29.

 

AirAsia muncul pemenang dalam kategori berkenaan selepas mendapat undian terbanyak daripada peserta industri, pengguna, media dan profesional perjalanan dari seluruh rantau ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, ia merupakan pencapaian besar untuk AirAsia ketika syarikat penerbangan itu meneruskan semula operasi di semua pasaran utama.

 

"Beberapa tahun kebelakangan ini amat mencabar dan kami berbesar hati untuk menerima pengiktirafan ini yang akan memberikan motivasi untuk berusaha lebih gigih. 

 

"Kakitangan adalah teras kepada segala-gala yang kami lakukan dan terima kasih diucapkan kepada mereka atas kemenangan ini.

 

"Kami berterima kasih kepada World Travel Awards, tetamu yang setia selain rakan industri dan pihak berkepentingan di atas sokongan serta penghargaan berterusan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ditubuhkan pada 1993, World Travel Awards, diperakui sebagai salah satu program anugerah paling berprestif, komprehensif dan dikehendaki yang mengiktiraf kecemerlangan merentasi sektor perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.

 

AirAsia juga telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Dengan Tambang Berpatutan di World Business Outlook Awards 2022 dan juga sebagai Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Malaysia di International Business Magazine Awards 2022.

 

Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan berkata, kemenangan itu adalah amat bermakna kepada pasukan kru kabin yang bekerja keras mengekalkan standard tinggi dan memastikan tetamu menikmati pengalaman perjalanan yang lancar setiap kali.

 

"Mengharungi cabaran yang dibawa oleh pandemik bukanlah satu tugas mudah dan kami tidak dapat melakukannya tanpa pasukan. Mengutamakan tetamu adalah nilai yang disuntik dalam semua Allstars dan pengiktirafan ini mengukuhkannya lagi.

 

"Kami tidak sabar untuk menyambut lebih ramai tetamu tidak lama lagi apabila operasi meningkat secara berperingkat," katanya. - DagangNews.com