airasia farm terus berkembang pesat dalam sektor pertanian | DagangNews Skip to main content

airasia farm terus berkembang pesat dalam sektor pertanian

 Datuk Kamarudin Meranun (kiri) bersama Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Datuk Kamarudin Meranun (kiri) bersama Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee. 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Disebalik krisis COVID-19, airasia farm terus berkembang pesat dalam sektor pertanian dengan memanfaatkan rantaian bekalan pertanian, membuka peluang pekerjaan serta menjamin keselamatan makanan dan bahan mentah.

 

Pengerusi Eksekutif airasia Group, Datuk Kamarudin Meranun berkata, AirAsia adalah sebuah syarikat penerbangan untuk semua dan mempunyai satu jenama yang kukuh di kalangan masyarakat.

 

Menurutnya, jenama berkenan juga membuka peluang kepada airasia farm untuk terus menembusi pasaran kerana rekod pihaknya sebagai sebuah jenama yang terus memberikan nilai dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

 

"Ini amat penting untuk pengembangan perniagaan kami ke seluruh rantau ini dan untuk membina keupayaan eksport dan import tidak lama lagi. 

 

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk ucapkan tahniah kepada pasukan airasia farm di atas pencapaian ini dan kami berharap untuk terus menjadi pemacu rantaian bekalan pertanian bagi menyokong agenda keselamatan makanan negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

airasia farm dilancarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Jun 2020 sebagai sebuah platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang menghubungkan para pengeluar terus kepada syarikat perniagaan. 

 

.

 

Platform berkenaan menggunakan teknologi dan data untuk memenuhi permintaan daripada pasaraya atau pengusaha makanan dan minuman dengan menghubungkan dengan  pengeluar agro terdekat, supaya perkhidmatan penghantaran produk dapat dilakukan dengan lebih efisien dan berkesan.

 

Pada akhir tahun 2020, airasia farm berjaya mendaftarkan lebih daripada seribu syarikat pertanian, perikanan dan penternakan.

 

Hasil segar tersebut dibekalkan kepada kira-kira 100 buah perniagaan termasuk PKS dan pasar raya. 

 

airasia farm bukan sahaja telah mengurangkan kos perolehan hasil segar sehingga 25% untuk para peniaga yang membolehkan mereka terus beroperasi dalam waktu yang mencabar ini, malah membantu meningkatkan pendapatan pengeluar dengan membuka pasaran baharu dan tanpa orang tengah dalam rantaian bekalan.

 

Setelah setahun beroperasi, airasia farm  telah mendaftarkan kira-kira 2,000 pengeluar sepenuh masa, termasuk lebih daripada 170 dari Sabah dan petani kontrak, dengan kakitangan tambahan termasuk pemandu, pengendali logistik, eksekutif pembangunan perniagaan, eksekutif perhubungan petani, eksekutif jaminan kualiti dan ramai lagi.

 

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kelestarian industri pertanian dan makanan negara bergantung kepada teknologi yang bukan sahaja untuk menjadi lebih maju dan kompetitif, malah untuk menjamin keselamatan makanan tempatan.

 

Jelasnya, perkara itu amat penting khususnya pada masa seperti ini, di mana pertanian secara e-dagang dapat mengubah cara pemasaran hasil pertanian dan cara para petani menguruskan hasil.

 

"Dalam merealisasikan visi ini, kementerian telah berhubung dengan pemain industri secara proaktif seperti airasia farm yang berperanan dalam merevolusikan rantaian bekalan pertanian dengan memanfaatkan ekosistem e-dagang dan kemampuan logistik airasia Group. 

 

"Kami memuji pengembangan pesat airasia farm sebagai pengganggu dalam industri pertanian dan pihak kementerian menantikan pengembangan berterusannya," jelas beliau. - DagangNews.com