AirAsia gabung semua entiti media di bawah AirAsia Media Group | DagangNews Skip to main content

AirAsia gabung semua entiti media di bawah AirAsia Media Group

SHAH ALAM 11 Sept. - AirAsia menggabungkan perkhidmatan penyelesaian media merangkumi teknologi iklan, kandungan dan media di bawah AirAsia Media Group. Ia menawarkan penyelesaian pemasaran yang unik, menggabungkan teknologi iklan dan data serta saluran kandungan dan penerbitan yang menumpukan kepada pelancong dan budaya pop di ASEAN.

Sebagai cabang media, AirAsia Media Group akan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan seluruh ekosistem gaya hidup AirAsia. Dengan memanfaatkan rangkaian aset media pelbagai saluran AirAsia yang luas dan pangkalan data yang besar, AirAsia Media Group dapat berhubung dengan para pengguna di setiap saluran dan menawarkan penyelesaian media kepada jenama-jenama lain, melalui platform teknologi iklan atau perkhidmatan pengurusannya.

Dalam usaha untuk mengukuhkan tawaran dalam budaya pop, AirAsia Media Group telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Universal Music Group (UMG). Inisiatif daripada kerjasama ini adalah Red Records, sebuah label rakaman unik dengan UMG, yang akan melancarkan single pertama artis Thailand-Jerman Janine Weigel, “Passcode” yang dihasilkan oleh Tommy Brown, penerbit rakaman yang dicalonkan oleh anugerah Grammy. Inisiatif lain termasuklah RedCarpet, tawaran bakat, media dan produksi menyeluruh, yang telah melancarkan kempen pertama menampilkan video perjalanan bersama artis Malaysia, Alvin Chong (“Alvin's Road Trip”).

Penubuhan AirAsia Media Group juga selaras dengan strategi transformasi digital AirAsia dan akan menjadikannya sebagai pemacu untuk mengerakkan, mengedarkan dan menyatukan aset iklan semua syarikat di bawah kumpulan AirAsia, selain menawarkan perkhidmatan menyeluruh kepada para pemasar dari dalam talian ke penerbangan hingga ke destinasi yang dituju.
 

aa
Sumit Ramchandani


Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Media Group, Sumit Ramchandani berkata, satu daripada kekuatan unik syarikat adalah kemampuan untuk berhubung dengan lebih daripada 75 juta pengguna di seluruh dunia melalui 15 rangkaian produk perjalanan, e-dagang dan gaya hidup dalam satu platform data.

"Tan Sri Tony Fernandes, pengasas kami selalu berpesan untuk mencari peluang dalam krisis dan pandemik ini telah membuka mata kami untuk memanfaatkan kekuatan ekosistem sendiri tanpa bergantung pada pemasaran berbayar.

"Kami turut menyedari bahawa kekuatan ekosistem kami dapat dilanjutkan di luar kategori perjalanan, kepada kategori e-dagang dan gaya hidup. Rangkaian aset media pelbagai saluran dan pangkalan data yang besar kami dapat menawarkan set penyelesaian media yang unik kepada pemasar.

"Dengan menggabungkan fungsi media dalam satu kumpulan, kami berharap dapat membantu pemasar dengan lebih baik untuk mencapai sasaran mereka dengan menyediakan data berkualiti untuk meningkatkan pembelian. Pelbagai inisiatif baharu yang menarik akan dijalankan dalam masa terdekat, seperti menggabungkan peminat, perjalanan dan bakat dengan cara unik, jadi nantikan pengumumannya!,” ujarnya.

Penggabungan perkhidmatan ini juga membolehkan AirAsia Media Group menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam bidang pemasaran digital dan e-dagang, serta mencari pasukan jualan di Filipina, Thailand dan Indonesia.

AirAsia Media Group kini membuka peluang kerjasama dengan agensi dan jenama, terutama yang menumpukan kepada pelancong ASEAN dan budaya pop. Selain bekerjasama dengan syarikat berkaitan seperti Tune Hotels, teleport dan banyak lagi, AirAsia Media Group turut bekerjasama dengan syarikat dari pelbagai industri seperti makanan dan minuman, fesyen dan perjalanan. - DagangNews.com