Berjaya Food terus catat kerugian suku keempat akibat boikot anti-Israel | DagangNews Skip to main content

Berjaya Food terus catat kerugian suku keempat akibat boikot anti-Israel

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 15 Nov - Berjaya Food Bhd mencatatkan kerugian suku keempat berturut-turut apabila gerakan boikot anti-Israel terus menjejaskan kumpulan syarikat yang mengendalikan rangkaian kopi Starbucks di Malaysia.

 

Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM33.68 juta bagi suku pertama berakhir 30 Sept 2024 (1QFY2025), berbanding keuntungan bersih RM19.03 juta setahun sebelumnya, yang terjejas oleh "impak berpanjangan daripada sentimen berterusan berhubung konflik Timur Tengah".

 

Perolehan syarikat bagi suku tersebut lebih separuh kepada RM124.19 juta daripada RM278.53 juta, menurut makluman Berjaya Food di Bursa Malaysia pada Khamis. Tiada dividen diisytiharkan untuk suku dalam tinjauan.

 

Kumpulan itu berkata walaupun persekitaran makro keseluruhan masih mencabar, ia telah melihat penambahbaikan positif dalam pelaksanaan inisiatif dan program strategiknya, tetapi tidak mengulas lanjut.

 

“Melihat ke hadapan, kami tetap optimis dengan berhati-hati bahawa prestasi operasi akan bertambah baik secara beransur-ansur pada suku akan datang.

 

"Para pengarah komited untuk mengukuhkan perniagaan teras dan pelaburan kumpulan,” tambahnya.

 

Selain rangkaian kopi Starbucks di Malaysia dan Brunei, kumpulan itu juga mengendalikan rangkaian Kenny Rogers Roasters (KRR) di Malaysia, serta jenama kafe bakeri Paris Baguette di sini dan di Filipina.

 

Saham dalam Berjaya Food jatuh tiga sen atau 6.8% untuk ditutup pada 41 sen pada Khamis, menilai kumpulan itu pada RM798.53 juta. Saham telah jatuh lebih 30% tahun ini. - DagangNews.com