Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Sebuah platform yang memenuhi keperluan gaya hidup Muslim di bawah naungan airasia.com, IKHLAS melancarkan perkhidmatan terbaharunya iaitu Akikah.
Ketua IKHLAS, Ikhlas Kamarudin berkata, pelancaran tersebut juga adalah selaras dengan pengembangan perniagaan digital Kumpulan AirAsia.
"Kami bangga untuk memperkenalkan perkhidmatan Akikah sebagai satu lagi produk mudah dengan harga yang berpatutan di platform kami bermula dengan pakej Akikah Luar Negara, dan akan disusuli dengan pakej Akikah di dalam negara tidak lama lagi.
"Setiap tempahan perkhidmatan Akikah melalui IKHLAS juga akan membantu komuniti yang memerlukan termasuklah para pelajar, pekerja di barisan hadapan dan ramai lagi," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Akikah bermaksud penyembelihan haiwan tertentu untuk anak yang baru dilahirkan selain untuk tujuan mencukur atau memotong rambut dan memberi nama kepada anak yang baru dilahirkan.
Perkhidmatan terbaharu ini terdiri daripada Akikah Luar Negara yang merangkumi lebih daripada 35 buah negara di seluruh dunia termasuk Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Sri Lanka, India, Palestin, Pakistan dan banyak lagi dengan harga serendah RM580 bagi seekor kambing.
Manakala untuk Akikah Makkah, penyembelihan akan dijalankan di Kota Suci Mekah dengan harga serendah RM499 bagi seekor kambing.
Jelas beliau, daging sembelihan tersebut akan diagihkan kepada komuniti yang memerlukan di negara-negara tersebut.
Setiap tempahan melalui ikhlas.com/aqiqah juga akan menerima BIG Poin (1 BIG Poin untuk setiap RM2) dan sijil rasmi yang memaparkan lokasi bagi setiap Akikah yang dilaksanakan bersama IKHLAS.
IKHLAS merupakan jenama perniagaan di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk komuniti Muslim di seluruh dunia dengan menyediakan akses untuk pelbagai amalan berasaskan keimanan.
Platform itu turut termasuk kewajipan agama seperti Umrah, Korban dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum Syariah. - DagangNews.com