Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Nov - AirAsia Malaysia mengumumkan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Thailand bermula 5 November 2021.
Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata, ia susulan pengumuman kerajaan Thailand yang membenarkan pengunjung yang telah divaksin tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.
Katanya, bagi memulakan semula perjalanan tanpa kuarantin ke Thailand, AirAsia akan beroperasi dengan jadual penerbangan mingguan sebanyak 4 kali penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bangkok (2 kali seminggu) dan Phuket (2 kali seminggu).
"Lebih banyak laluan dan kekerapan akan ditambah mengikut peningkatan permintaan perjalanan dengan pembukaan lebih banyak destinasi percutian pada masa akan datang, tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa," katanya.
Sempena penyambungan semula perjalanan ke Thailand itu, Riad berkata bermula 1 November hingga 7 November 2021, para tetamu boleh menempah penerbangan ke Bangkok dan Phuket daripada hanya RM50 sehala dan tempoh perjalanan antara 5 November 2021 hingga 28 Februari 2022 melalui ikon ‘Flights’ di airasia Super App.
"Para tetamu juga boleh mendapatkan tawaran pakej penerbangan dan penginapan melalui ikon ‘SNAP’ di airasia Super App bermula hanya RM239 untuk perjalanan dalam tempoh yang sama.
"Mereka yang ingin menempah penginapan secara berasingan boleh menekan ikon ‘Hotels’ untuk menempah hotel yang disenaraikan di bawah SHA Plus dan menikmati diskaun 10% dengan kod promosi AAHOTEL10," katanya.
Sementara itu, Pengarah Malaysia dan Brunei, Lembaga Pelancongan Thailand, Nongyao Jirundorn, berkata sejak 1 November lalu, Thailand telah membuka kembali pintu kepada pelancong antarabangsa sehingga 17 daerah termasuk Bangkok, Chiang Mai, Hua Hin, Phuket dan Samui.
Beliau berkata, hampir semua perniagaan dan aktiviti kini boleh disambung semula dan beroperasi dalam keadaan normal baharu.
Thailand juga katanya meluluskan sejumlah 63 negara yang layak termasuk Malaysia memasuki ke Thailand tanpa perlu kuarantin serta mengurangkan jumlah insurans kepada AS$50,000.
"Ini memudahkan kemasukan pelancong asing ke Thailand dan menjadikan Thailand destinasi pelancongan pilihan," katanya. -DagangNews.Com