AirAsia latik bekas pengarah urusan Adidas sebagai Ketua Pegawai Komersial baharu | DagangNews Skip to main content

AirAsia latik bekas pengarah urusan Adidas sebagai Ketua Pegawai Komersial baharu

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - AirAsia Group mengumumkan pelantikan bekas Pengarah Urusan Adidas Asia Pasifik, Colin Currie sebagai Ketua Pegawai Komersial yang baharu berkuat kuasa hari ini.

 

AirAsia berkata, Currie akan memacu pertumbuhan syarikat melalui strategi berdasarkan pengguna menggunakan data dan mencapai objektif kewangan untuk syarikat penerbangan AirAsia dan unit digitalnya.

 

"Sebagai bekas eksekutif jenama terkemuka meliputi China dan wilayah sekitarnya seperti Korea Selatan, Jepun serta negara Asia Tenggara dan Pasifik, Currie bertanggungjawab menjadikan adidas sebagai antara jenama pengguna terbaik di rantau ini, meningkatkan hasil syarikat lima kali ganda di China dan merapatkan jurang bahagian pasaran daripada tempat keempat sehingga menjadi antara yang teratas.

 

Beliau juga bertanggungjawab menambah baik model operasi jenama terbabit dan memacu pertumbuhan syarikat di pasaran serantau," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu mengulas mengenai pelantikannya, Currie berkata dia berbesar hati untuk menyertai AirAsia Group dengan pengalaman dan pengetahuannya dalam meningkatkan keseluruhan jenama dan prestasi jualan, terutamanya dalam perniagaan digital baharu.

 

"Saya mengikuti kisah kejayaan AirAsia yang menakjubkan dan yakin bersama-sama pasukannya, kami boleh mempercepat dan memperkukuhkan AirAsia sebagai syarikat teknologi digital dan gaya hidup terkemuka di Asean.

 

"Ini adalah masa yang terbaik untuk menyertai AirAsia dalam revolusi syarikatnya di era digital ini," katanya.

 

Pelantikan ahli perniagaan Malaysia yang berpengalaman itu mencerminkan komitmen dan fokus strategik AirAsia terhadap peningkatan daya saing pasaran perniagaan baharunya, termasuk airasia Super App dan usaha e-dagang yang lain.

 

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Currie mempunyai pengalaman yang luas di sebuah syarikat global yang juga menumpukan kepada ASEAN dan akan memacu integrasi data AirAsia Group untuk mempercepatkan pertumbuhan hasil dan mewujudkan sinergi baharu di seluruh perniagaan kumpulan.

 

"Pelantikan Currie juga adalah bukti kukuh AirAsia untuk memacu pertumbuhan syarikat pasca COVID-19. Ia juga menjadi bukti kepada jenama kami yang kuat dan mempunyai bakat yang hebat meskipun terjejas berikutan pandemik ini," katanya. -DagangNews.Com