AirAsia masih bergelut keluar daripada status PN17, CGS-CIMB nilai TP hanya 9 sen | DagangNews Skip to main content

AirAsia masih bergelut keluar daripada status PN17, CGS-CIMB nilai TP hanya 9 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Jan - AirAsia Group Bhd. masih berdepan dengan cabaran berliku untuk melangkah keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) yang sedang dihadapi syarikat penerbangan tambang rendah itu. 

 

Ini menyaksikan CGS-CIMB masih mengekalkan saranan 'kurang' terhadap sahamnya dengan harga sasaran (TP) dinilai lebih rendah pada 9 sen berbanding 14 sen sebelum ini selepas unjuran penilaian aset bersih dinilai semula (RNAV).

 

Penganalisisnya, Raymond Yap berkata, AirAsia memerlukan ekuiti pemegang saham sekurang-kurangnya 50% daripada modal saham berbayar (atau sekurang-kurangnya RM40 juta tanpa 'ketidaktentuan material') memandangkan juruauditnya menyatakan 'ketidaktentuan material' dalam laporan audit bagi akaun tahun kewangan 2020 (FY20). 

 

Katanya, dengan modal saham berbayar sebanyak RM8.5 bilion setakat 30 September 2021, ia bermakna kumpulan memerlukan ekuiti pemegang saham yang minimum sebanyak RM4.2 bilion. 

 

"Sebagai perbandingan, AirAsia mempunyai kedudukan dana pemegang saham yang negatif sebanyak RM3.2 bilion setakat 30 September 2021, justeru, untuk keluar daripada status PN17 ini, ia memerlukan rangsangan RM7.4 bilion kepada dana pemegang saham secara proforma. 

 

"Jurang ini adalah sasaran yang bergerak, manakala RM197 juta (20%) daripada RM975 juta sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) telah ditukar kepada saham biasa baharu. 

 

"Namun, kerugian perniagaan yang berterusan sudah tentu akan melebarkan lagi jurang ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada 14 Januari lalu, Bursa Malaysia Securities Bhd. mengumumkan AirAsia telah diklasifikasikan sebagai syarikat bermasalah sejajar dengan Perenggan 2.1(a) dan 2.1(e) Nota Amalan 17 (PN17) dalam Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Securities.

 

Ini berikutan, sehari sebelumnya, Bursa Malaysia telah menolak rayuan AirAsia yang ingin melanjutkan tempoh pelepasan selama 18 bulan daripada diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 yang berakhir pada 7 Januari 2022.

 

Baca : AirAsia perlu RM7.4 bilion untuk keluar daripada PN17, mungkin laksana langkah lebih ekstrem - Penganalisis

 


Menurut Yap, antara langkah yang boleh dilaksanakan AirAsia bagi mengurangkan jurang tersebut (yang mana tidak dinyatakan dalam nota kajiannya bertarikh 17 Januari lalu) adalah dengan memperoleh kelulusan pemegang saham dan mahkamah untuk pengurangan modal. 

 

"Ini bermakna kerugian sebanyak RM5.8 bilion (setakat 30 September 2021) boleh diimbangi berbanding modal saham berbayar sebanyak RM8.5 bilion menjadikan baki modal saham berbayar sebanyak RM2.7 bilion. 

 

"Menerusi langkah ini, kumpulan akan memerlukan dana pemegang saham sekurang-kurangnya RM1.35 bilion atau 'hanya' ransangan RM4.55 bilion setakat 30 September 2021 untuk keluar daripada status PN17," jelasnya.  

 

Mengenai langkah pemecahan AirAsia Indonesia (IAA) dan AirAsia Filipina (PAA) pula, Yap menjelaskan, ia hanya boleh dilaksanakan sekiranya kedua-dua syarikat penerbangan ini memperoleh pemegangan saham baharu, di mana AirAsia boleh menyakinkan juruauditnya bahawa ia hanya mempunyai pengaruh yang penting dan bukan kawalan ke atas IAA dan PAA. 

 

"Tanpa langkah tersebut, AirAsia tidak mungkin memperoleh kelulusan juruaudit untuk melaksanakan pemecahan dalam syarikat penerbangan ini. 

 

Mengulas lebih lanjut, Yap berkata, sekiranya tidak memperoleh pengurangan modal, AirAsia dijangka bergelut untuk keluar daripada status PN17 dengan jurang RM4.55 bilion yang besar dalam dana pemegang saham. 

 

Di samping itu, katanya, waran RM650 juta dan RM778 juta dalam baki RCUIDS mungkin tidak akan ditukar kepada saham tidak lama lagi memandangkan harga saham masih di bawah harga penukaran.

 

"Dalam hal ini, AirAsia mungkin pertimbangkan untuk menjual pegangannya dalam beberapa perniagaan digital sehingga di bawah 50% untuk mendapat manfaat daripada keuntungan penilaian semula nilai saksama.

 

"Tetapi, hakikatnya perkara ini sukar diramal atau bila ia akan berlaku," tambah beliau. 

 

Setakat 10.48 pagi ini, harga saham AirAsia susut 1 sen atau 1.65% kepada 59.5 sen dengan 2.9 juta saham diniagakan. - DagangNews.com