airasia money tawar insurans kereta digital | DagangNews Skip to main content

airasia money tawar insurans kereta digital

 airasia money tawar insurans kereta digital

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pemilik kenderaan yang ingin memperbaharui insurans kereta bukan sahaja mendapat tawaran terbaik bahkan berpeluang untuk memenangi sebuah kereta dengan pelancaran perkhidmatan insurans kereta digital baharu oleh airasia money di airasia Super App  bermula hari ini.  

 

Dengan kerjasama PolicyStreet, perkhidmatan insurans kereta digital itu termasuk pembaharuan insurans dan cukai jalan serta menawarkan pemilik kereta perkhidmatan perbandingan harga insurans dari pelbagai syarikat insurans sebelum memilih pakej terbaik.

 

PolicyStreet telah diikhtiraf sebagai salah satu daripada sepuluh syarikat permulaan InsurTech oleh Insurance Business Magazine Asia 2020.   

 

airasia money turut menawarkan insurans tambahan lain seperti cermin hadapan, banjir, tambahan pemandu dan perkhidmatan penghantaran ke rumah untuk cukai jalan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, pelanggan kini boleh mendapatkan lebih banyak tawaran teknologi kewangan yang tersedia di airasia Super App kerana pihaknya akan terus memperkukuh, berinovasi dan kekal relevan dalam pasaran menerusi airasia money.

 

"Kerjasama dengan PolicyStreet juga membolehkan kami untuk menawarkan pilihan terbaik, dari segi nilai dan kepantasan di dalam pasaran insurans kereta digital.

 

"AirAsia sentiasa mementingkan perkhidmatan untuk semua, sama seperti kami membolehkan semua orang untuk terbang, airasia money akan memberikan perkhidmatan kewangan terbaik di pasaran dan boleh diakses oleh semua orang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pemilik kereta juga dapat menikmati diskaun tunai segera sebagai hadiah daripada airasia money.

 

Diskaun RM50 segera yang akan diberikan untuk premium insurans melebihi RM600 dan diskaun RM25 segera yang akan diberikan untuk premium insurans kurang daripada RM600 dengan menggunakan kod promosi: airasia50.

 

Sementara itu, Ketua airasia money, Mohamad Hafidz Mohd Fadzil (Mo) berkata, tujuan pihaknya adalah untuk menjadi pusat sehenti bagi semua penyelesaian kewangan kepada pengguna airasia Super App dengan kerjasama PolicyStreet, platform insurans dalam talian terbaik.

 

"Kami juga berharap untuk menyediakan perkhidmatan insurans yang mudah, senang dan berpatutan kepada lebih 36 juta pengguna airasia Super App dan pemilik kereta.

 

"Pengembangan airasia money berada di landasan yang betul dan kami akan menawarkan produk dan perkhidmatan kami di Indonesia dan perkhidmatan insurans dan pelaburan di Malaysia kedua-duanya pada suku tahun keempat 2021 serta pembayaran insurans premium kereta digital pada suku tahun pertama 2022," jelas beliau lagi. 

 

Kerjasama dengan PolicyStreet turut membolehkan airasia money untuk menawarkan insurans kereta digital menyeluruh dari syarikat terkenal seperti Tune Protect Group Berhad, AXA Affin General Insurance Berhad, Etiqa General Takaful Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad dan banyak lagi. - DagangNews.com