Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kumpulan AirAsia (AirAsia) terus memperkasa transformasi digital menerusi pelaksanaan automasi proses robotik (RPA) bagi menambahbaik aliran kerja dan proses dalaman syarikat.
Pelaksanaan itu dilakukan menerusi kerjasama dengan syarikat automasi di India dan Silicon Valley, California iaitu JIFFY.ai.
Ketua Pegawai Transformasi AirAsia, Azli Mohamed berkata, langkah itu diambil selepas tinjauan gerak kerja dalaman menunjukkan bahawa proses automasi perniagaan dapat dilakukan dengan mudah dengan alat yang tepat.
“Di AirAsia, kami sentiasa mencari ruang untuk melaksanakan inovasi. RPA akan membolehkan tenaga kerja menjalankan tugasan berulang dan biasa secara automatik, sekali gus dapat menjimatkan masa bagi tumpuan tugasan lain yang lebih memerlukan penilaian pemikiran dan pengalaman.
“RPA juga akan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kesalahan dan menugaskan semula tenaga kerja ke tugasan yang bernilai tinggi. Semua kelebihan ini kelak membantu mengurangkan kos yang tinggi serta meningkatkan pertumbuhan hasil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
AirAsia melantik JIFFY.ai bagi melaksanakan RPA sejak Mei 2020 lalu. Pelaksanaan itu menggunakan platform automasi artificial intelligence (AI) yang membolehkan proses dokumen pintar dan analisis dilakukan serentak.
Pelaksanaan RPA dalam kumpulan syarikat diketuai oleh jabatan dan fungsi dalaman secara berperingkat dan seterusnya merangkumi inovasi yang dilaksanakan sebelum ini bagi meningkatkan hasil syarikat.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif JIFFY.ai, Babu Sivadasan berkata, platform automasi yang dimiliki boleh diperkembangkan dan dipanjangkan dalam meningkatkan kepintaran automasi untuk memperkemas serta menambah baik proses perniagaan.
“Kami berbesar hari apabila terpilih untuk bekerjasama dengan AirAsia dalam membantu memperkasa transformasi digital,” kata beliau.
Sebelum ini, usaha proses transformasi digital di AirAsia telah dijalankan sejak 2016.
Projek RPA perintis dikenal pasti melalui kerangka CEKAP AirAsia, yang dirancang untuk memudahkan inovasi dan meningkatkan kecekapan secara dalaman.
Antara jabatan yang dikenalpasti untuk mengadaptasi automasi digtal adalah AirAsia Global Shared Services yang dijangka mampu menjimatkan kos serta meningkatkan keuntungan dalam tempoh 180 hari dari tarikh pelaksanaan. - DagangNews.com