AirAsia perlu bijak guna wang pinjaman | DagangNews Skip to main content

AirAsia perlu bijak guna wang pinjaman

AirAsia Group Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia Group Berhad (AAGB) disaran agar dapat menggunakan wang pinjaman berjumlah RM300 juta dengan sistematik.

MIDF Research berkata, perkara itu perlu bagi memastikan kelangsungan pengoperasian syarikat berkenaan.

"Kami percaya bahawa AirAsia akan menggunakan pinjaman untuk mengembangkan perniagaan OURFARM. 

"Keseluruhan perniagaannya masih berada dalam keadaan kurang baik susulan kekurangan jumlah penumpang di tengah-tengah wabak yang semakin teruk.

"Dalam hal ini, kami berpendapat bahawa pinjaman itu perlu ditetapkan secara khusus untuk membantu perniagaan syarikat sekali gus memastikan AirAsia terus bertahan," jelas MIDF Research.

Jumaat lalu, AirAsia Group telah mengesahkan syarikatnya berjaya menerima pinjaman berjumlah RM300 juta daripada Sabah Development Bank Berhad (SDB).

AirAsia dan SDB bersetuju untuk menggunakan pinjaman berkenaan bagi membangunkan beberapa projek tertentu.

 

Berikut merupakan empat projek yang dipersetujui bersama;

  • RM170 juta untuk mewujudkan rangkaian bekalan makanan secara digital dan rangkaian sejuk OURFARM di Sabah.
  • RM110 juta untuk membiayai sebahagian projek yang akan dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menjadi hab penerbangan antarabangsa untuk operasi AirAsia Berhad.
  • RM10 juta untuk meningkatkan platform e-dagang dan kebolehpasaran produk Sabah
  • RM10 juta untuk mempromosikan destinasi pelancongan Sabah di airasia.com dan aplikasi super digital AirAsia.

 

Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research berpendapat, masih terlalu awal untuk pihaknya membuat ramalan sumbangan pendapatan daripada OURFARM.

"Kami berpendapat bahawa inisiatif ini akan mengambil masa beberapa tahun untuk mendapatkan hasil.

"Kami menjangkakan penurunan pendapatan secara menyeluruh di bawah tahap tahun kewangan 2019, sementara mengekalkan anggaran pendapatan untuk tahun kewangan 2020 dan 2021 selain anggaran positif untuk 2022," ujar MIDF Research lagi. - DagangNews.com