AirAsia rai penumpang penerbangan pertama dari Thiruvananthapuram ke Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

AirAsia rai penumpang penerbangan pertama dari Thiruvananthapuram ke Kuala Lumpur

Para tetamu penerbangan sulung AirAsia dari Thiruvananthapuram disambut meriah sebaik mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Feb - AirAsia meraikan ketibaan penumpang penerbangan sulung dari Thiruvananthapuram ke Kuala Lumpur yang menjadikannya laluan terus kedua syarikat penerbangan tersebut ke negeri Kerala, India selain Kochi.

 

Sebanyak empat penerbangan mingguan ke Thiruvananthapuram yang menawarkan pengembara pelbagai tarikan untuk diterokai di Kerala.


 
Bandar di selatan India itu mempunyai pelbagai keunikan seni bina, juadah tempatan yang enak, keindahan pantai dan banyak lagi tarikan lain.

 

Sempena ketibaan penerbangan pertama ini, para tetamu dalam penerbangan AK8 diraikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam.

 

Bo Lingam berkata, pihaknya berbangga dengan pelancaran laluan baharu ini dari Trivandrum ke Kuala Lumpur dan berbesar hati untuk meraikan para tetamu dari bandar yang menakjubkan ini.

 

"Untuk tempoh 15 tahun yang lepas, AirAsia telah mengubah landskap perjalanan di India secara drastik dan menghubungkan jutaan pelancong ke Malaysia dan lain-lain dengan tambang berpatutan.

 

"Kami berharap untuk melancarkan lebih banyak laluan unik dan menawarkan pengalaman perjalanan lebih baik untuk para tetamu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

keral

 

ARTIKEL BERKAITAN: AirAsia tambah laluan penerbangan baharu KL ke Trivandrum mulai 21 Februari 2024

 

Sementara itu, King Sing berkata, kementeriannya menghargai usaha berterusan AirAsia dalam memperluaskan rangkaian laluan udara antara Malaysia dan India dan membolehkan lebih ramai pelancong mengunjungi negara ini.

 

"Ini terutamanya selepas pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pengecualian visa bagi warganegara India ke Malaysia. Kami menjangka lebih ramai pelancong dari India akan melawat Malaysia pada masa akan datang," jelasnya.

 

AirAsia kini mengendalikan 10 laluan antarabangsa secara terus dari India ke Malaysia dengan jumlah 56 penerbangan mingguan bagi penerbangan jarak dekat oleh AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) seperti Trivandrum, Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata, Ahmedabad, Jaipur dan Visakhapatnam. 

 

Bagi penerbangan jarak sederhana, AirAsia X Malaysia (kod penerbangan D7) mengendalikan dua laluan secara terus dari New Delhi dan Amritsar ke Kuala Lumpur dengan lapan penerbangan mingguan. 

 

Pengembangan perkhidmatan AirAsia ke India menawarkan pengalaman perjalanan yang menyeluruh dan lancar untuk pengembara di seluruh India ke rangkaian tambang rendah terluas di Asia.

 

Maklumat lanjut dan promosi terkini, ikuti AirAsia di Instagram @flyairasia.- DagangNews.com