AirAsia raih RM240 juta daripada penggabungan Fly Leasing-Carlyle Aviation  | DagangNews Skip to main content

AirAsia raih RM240 juta daripada penggabungan Fly Leasing-Carlyle Aviation 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - AirAsia Group Berhad mengumumkan bahawa kumpulan telah menjana hasil kasar sebanyak AS$56.83 juta atau sekitar RM239.98 juta daripada langkah penggabungan Fly Leasing Limited (Fly Leasing) dan Carlyle Aviation Partners.

 

Sebagai rekod, syarikat penerbangan tambang murah itu sebelum ini memegang 3.33 juta saham Fly Leasing, yang mewakili kira-kira 10.94% saham biasa di dalam syarikat itu.

 

Saham itu dibeli oleh AirAsia pada 30 Ogos 2018, sebagai sebahagian daripada pertimbangan berbentuk tunai daripada pelupusan operasi penyewaan pesawat AirAsia yang dilakukan oleh Asia Aviation Capital Limited kepada entiti yang dikendalikan oleh BBAM Limited Partnership.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes, rancangan kumpulan untuk menjana sehingga RM2.5 bilion menerusi gabungan pinjaman dan ekuiti berada di landasan tepat. 

 

Tony Fernandes
Tony Fernandes

 

Katanya, transaksi itu memberikan lonjakan kepada strategi keseluruhan kutipan dana kumpulan.

 

“Kami sebelum ini telah menjana RM336.5 juta daripada dua tranche penempatan saham persendirian pada awal tahun ini dan terus merunding semula terma-terma penyewaan dengan semua pemajak kami. 

 

“Kami juga telah melupuskan 32.67% kepentingan di dalam AirAsia India, berjumlah AS$37.68 juta (kira-kira RM152.64 juta), menghentikan operasi di Jepun dan menjual enjin ganti bernilai lebih AS$130 juta.

 

“Terdapat pelbagai inisiatif kutipan dana yang dilakukan bagi memastikan kecairan kumpulan cukup, di mana berjalan dengan baik. Kami dalam proses untuk memuktamadkan pinjaman Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin, mengusahakan pinjaman berdasarkan data sehingga AS$350 juta dan bersedia untuk terbitan hak sehingga RM1.02 bilion di mana disasarkan selesai pada Disember,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, AirAsia kekal optimis terhadap keupayaan kumpulan untuk bukan sahaja bertahan dengan impak pandemik yang masih lagi berterusan, tetapi kembali lebih kukuh dalam masa terdekat ini. 

 

Beliau menjangkakan perjalanan udara domestik berkemungkinan kembali beroperasi secara berperingkat pada suku ketiga tahun 2021 (3Q21) dan perjalanan udara antarabangsa mungkin bermula pada 2022. 

 

Dalam masa sama, lonjakan besar dalam perjalanan udara mungkin dapat dilihat pada masa akan datang kerana terdapat permintaan yang tertangguh dengan langkah vaksinasi dipercepatkan.

 

“Strategi transformasi digital kami akan menjadi lebih daripada sebuah syarikat penerbangan untuk meraih momentum kukuh di seluruh perniagaan bukan penerbangan kami,” katanya lanjut.

 

Terdahulu, AirAsia juga baru-baru ini melengkapkan langkah pengambilalihan operasi Gojek di Thailand untuk mempercepatkan pelancaran airasia Super App di seluruh ASEAN. - DagangNews.com