airasia ride lancar ciri Pemandu Komuniti dengan pilihan LadiesONLY untuk penumpang wanita | DagangNews Skip to main content

airasia ride lancar ciri Pemandu Komuniti dengan pilihan LadiesONLY untuk penumpang wanita

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mac - Perkhidmatan airasia ride hari ini melancarkan ciri terbaharunya iaitu Pemandu Komuniti bagi memenuhi keperluan penumpang yang berbeza dengan pilihan pemandu wanita atau LadiesONLY. 

 

Bagi penumpang wanita yang ingin membuat tempahan perjalanan LadiesONLY, hanya perlu menekan ikon ‘Ride’ pada airasia Super App.

 

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, pihaknya sentiasa mencari inovasi terbaharu bagi menawarkan perkhidmatan yang lebih baik bagi pengguna airaisa Super App dan pemandu atau rakan penghantar daripada perkhidmatan pengangkutan, penghantaran makanan dan bungkusan. 

 

"Kami memahami bahawa penumpang airasia ride mempunyai keperluan yang berbeza, dan kami yakin ciri Pemandu Komuniti, bermula dengan ciri LadiesONLY akan menarik minat pengguna airasia ride sedia ada dan menarik lebih ramai pengguna baharu. 

 

"Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan penumpang ke-sejuta apabila kami menambah lebih banyak ciri Pemandu Komuniti tidak lama lagi," katanya.

 

Selain ciri LadiesONLY, airasia ride akan memperkenalkan beberapa kategori Pemandu Komuniti lain pada masa akan datang termasuk:

 

  • PriorityRide: Nikmati masa menunggu yang lebih singkat dan dipandu oleh pemandu dengan penilaian tertinggi
  • Joy in the ride: Nikmati perjalanan yang menyeronokkan dan penuh kejutan 
  • DriveForMe: Nikmati ciri pemandu peribadi untuk kenderaan anda jika anda tidak dapat memandu sendiri
  • QuietDriver: Nikmati perjalanan yang lebih tenang

 

Ketua Pegawai Eksekutif airasia ride, Lim Chiew Shan berkata, pihaknya berbesar hati melancarkan LadiesONLY sebagai permulaan kepada ciri Pemandu Komuniti yang akan mewujudkan perjalanan yang lebih selesa.

 

"Ciri Pemandu Komuniti kami menawarkan kelainan baharu dalam perjalanan harian anda kerana semuanya tersedia di airasia ride," katanya. 

 

Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa, airasia ride akan menderma semua hasil (kecuali komisen pemandu) daripada ciri LadiesONLY antara 8 Mac hingga 7 April 2022 kepada komuniti wanita yang memerlukan melalui Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO). - DagangNews.com