AirAsia, Skyports teroka pembangunan infrastruktur perkhidmatan teksi udara di Malaysia | DagangNews Skip to main content

AirAsia, Skyports teroka pembangunan infrastruktur perkhidmatan teksi udara di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Skyports Infrastructure dan pasukan Mobiliti Udara Termaju AirAsia menandatangani surat hasrat (LoI) bagi meneroka pembangunan infrastruktur untuk perkhidmatan teksi udara di Malaysia.

 

Kerjasama antara pakar industri AMM Skyports dan pengendali penerbangan tradisional AirAsia ini merupakan langkah penting dalam mewujudkan rangkaian platform vertiport yang beroperasi sepenuhnya di negara ini. 

 

Apabila industri ini semakin matang, kerjasama antara pemain penerbangan tradisional dan pakar AAM adalah penting untuk membangunkan rangkaian platform vertiport yang praktikal dan bersepadu.

 

Sebagai sebuah jenama terkemuka di peringkat global dalam industri penerbangan komersial, AirAsia juga terlibat secara aktif dalam operasi AAM di Malaysia. 

 

Baru-baru ini, ia telah mengumumkan rancangan masa depan untuk memajak 100 buah pesawat Vertical Aerospace VX4 eVTOL dari Avolon, melancarkan program latihan dron dan kini melanjutkan latihan dron kepada sektor berteknologi tinggi.

 

Dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak, kerjasama itu akan menggunakan kepakaran dan pengalaman penerbangan AirAsia, serta pengetahuan dan rangkaian pasarannya. 

 

Skyports Infrastructure pula akan menggunakan kepakaran portfolio globalnya untuk mereka bentuk dan membina infrastruktur platform perlepasan dan pendaratan untuk pesawat penumpang eVTOL. 

 

Selain itu, Skyports Infrastructure juga memainkan peranan penting dalam memajukan pembangunan kawal selia merentas pasaran, melalui kerjasama dengan badan kawal selia tempatan dan organisasi berkaitan.

 

Penilaian awal akan mengutamakan Kuala Lumpur. Kerjasama satu tahun itu akan menumpukan pada kajian penyepaduan infrastruktur platform vertiport untuk perkhidmatan teksi udara, pengenalpastian tapak platform vertiport berpotensi dan pembangunan keperluan serta rangka kerja operasi untuk melaksanakan rangkaian platform vertiport di Malaysia. 

 

Ketua Pegawai Keselamatan AirAsia Aviation Group Limited dan Ketua Mobiliti Udara Termaju, Kapten Ling Liong Tien berkata, susulan pengumuman usaha mereka untuk membangunkan perkhidmatan teksi udara di kawasan bandar pada awal tahun ini, pihaknya telah berusaha untuk meneroka kemungkinan perkhidmatannya di Malaysia. 

 

"Kerjasama dengan Skyports ini akan mempercepatkan kajian infrastruktur yang diperlukan termasuk platform pelepasan dan pendaratan vertikal di negara ini serta mengukuhkan potensi kami sebagai penyedia perkhidmatan perjalanan udara jarak dekat tanpa pelepasan di Asia Tenggara.

 

“AirAsia telah merevolusikan perjalanan udara komersial selama dua dekad yang lalu dan kami percaya bekerjasama dengan Skyports ini akan memacu kami ke hadapan untuk membentuk masa depan penerbangan autonomi di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Asia Pasifik Skyports, Yun-Yuan Tay pula berkata, kerjasama ini menyerlahkan kemajuan pembangunan AAM di Malaysia dan rantau Asia Pasifik dengan lebih luas. 

 

"Rakan kongsi yang inovatif dan berdaya maju seperti AirAsia membawa kami melangkah setapak ke hadapan untuk merealisasikan rangkaian perkhidmatan teksi udara yang selamat, cekap dan bersepadu sepenuhnya kepada rakyat dan komuniti," katanya. - DagangNews.com