AirAsia tawar tambang serendah RM28 ke empat destinasi domestik popular sempena kempen promosi tempat duduk percuma | DagangNews Skip to main content

AirAsia tawar tambang serendah RM28 ke empat destinasi domestik popular sempena kempen promosi tempat duduk percuma

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - AirAsia menawarkan tambang serendah RM28 termasuk semua sehala ke destinasi popular negara seperti Langkawi, Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang sempena pelancaran promosi tempat duduk percuma dan jualan hebat pertama pada 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi.

 

Syarikat penerbangan itu berkata, selain itu pihaknya turut menawarkan tambang promosi bermula RM83 termasuk semua sehala ke Krabi, Trivandrum dan Bali serta pelbagai destinasi menarik lain.

 

Katanya, promosi itu juga untuk penerbangan ke destinasi lain di Asia dengan tambang bermula RM299 termasuk semua sehala ke Taipei, Seoul, New Delhi, Almaty dan lain-lain. 

 

"Tempat duduk yang ditempah semasa kempen ini adalah untuk tempoh perjalanan antara 1 September 2024 dan 18 Jun 2025. Tempahan boleh dibuat di airasia Superapp atau www.airasia.com bermula hari ini.

 

"Kempen ini membolehkan para pengembara dalam dan luar negara dari pelbagai lapisan masyarakat terbang ke seluruh dunia dengan tambang lebih berpatutan. Promosi ini menawarkan tambang asas percuma dan para tetamu hanya perlu membayar cukai lapangan terbang dan caj berkaitan seterusnya menawarkan lebih nilai," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, rangkaian luas AirAsia dan tambang bernilai hebat merupakan bukti komitmen mereka sebagai syarikat penerbangan untuk semua dan berbesar hati untuk menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan dengan kempen tempat duduk percuma.

 

Katanya, pihaknya juga ingin berterima kasih kepada para tetamu yang menyokong mereka selama ini dan meraikan hampir 1 bilion tetamu yang telah terbang bersama-sama.

 

 

airasia

 

 

"Sempena pelancaran promosi ini, pelbagai destinasi baharu dan menarik turut ditawarkan. Kami tidak sabar untuk menerbangkan berjuta-juta tetamu ke pelbagai destinasi di seluruh dunia dengan tempat duduk percuma ini dan akan terus menghubungkan lebih ramai pengembara ke destinasi yang menakjubkan dengan tambang berpatutan. 

 

"Bagi mereka yang ingin menerokai destinasi baharu, jangan lepaskan peluang untuk menempah tempat duduk percuma dengan lebih awal," katanya.

 

Untuk perjalanan yang lebih lancar, AirAsia juga menawarkan diskaun 20% untuk tempahan ciri 'Fast Pass' dan 20% untuk tempahan 'Xtra Carry-On'. 

 

 

airasia

 

 

Pemegang kad BigPay di Malaysia juga boleh menikmati diskaun tambahan RM10 untuk semua penerbangan AirAsia. 

 

Selain itu, mulai 19 Februari hingga 31 Mac 2024, para tetamu boleh menikmati diskaun RM10 untuk tempahan penerbangan melalui aplikasi airasia Superapp dan laman web yang terhad kepada 500 penebusan pertama setiap hari. - DagangNews.com