AirAsia X sambung semula penerbangan ke Gold Coast mulai 15 Februari 2023 | DagangNews Skip to main content

AirAsia X sambung semula penerbangan ke Gold Coast mulai 15 Februari 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Dis - AirAsia X (AAX) terus menambah rangkaiannya di Australia dengan menyambung semula perkhidmatan ke laluan pertamanya ke Gold Coast bermula 15 Februari 2023.

 

Laluan itu akan menjadi destinasi keempatnya di Australia, selepas pelancaran Sydney, Melbourne dan Perth baru-baru ini. 

 

Dari bulan April hingga November tahun ini, AAX telah menerbangkan lebih 30,000 tetamu antara Malaysia dan Australia. Jumlah ini dijangka meningkat dengan ketara berikutan pengumuman hari ini dan kekerapan tambahan ke Sydney dan Melbourne pada bulan ini.

 

Sempena meraikan penyambungan semula ke laluan pertamanya, AAX menawarkan tambang termasuk semua bernilai hebat antara Kuala Lumpur dan Gold Coast daripada RM799 atau AUD$299 sehala untuk tempat duduk ekonomi dan RM3,999 atau AUD$1,999 sehala untuk Premium Flatbed.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata, terdapat permintaan yang amat menggalakkan untuk syarikat penerbangan itu kembali ke 'Permata Queensland’. 

 

Beliau berkata, ini kerana Gold Coast merupakan salah satu destinasi percutian utama dan pintu masuk ke Australia yang menawarkan sambungan domestik yang kukuh ke serata Queensland dan lain-lain.

 

“Melalui Kuala Lumpur, AirAsia X juga akan menghubungkan para tetamu dari Gold Coast ke lebih 130 destinasi di seluruh Asia, termasuk Thailand, Vietnam, Jepun, India, Korea Selatan dan banyak lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

aax

 

 

Menteri Pelancongan Queensland, Stirling Hinchliffe berkata, perkhidmatan AAX dari Kuala Lumpur telah disokong oleh dana penerbangan Kerajaan Queensland bernilai AUD$200 juta, dengan kerjasama empat lapangan terbang antarabangsa Queensland.

 

Menurutnya, pihaknya juga berharap AAX akan meningkatkan jadual penerbangannya kepada lima kali seminggu menjelang akhir tahun 2023. 

 

"Dari Kuala Lumpur, kami menjangka AAX akan menawarkan hampir 59,000 tempat duduk ke Gold Coast pada setiap tahun yang akan menjana AUD$45.6 juta untuk ekonomi pelancong, seterusnya menyokong 450 pekerjaan Queensland," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Queensland Airports Limited, Amelia Evans berkata, sejak penerbangan sulungnya, lebih dua juta penumpang telah terbang dengan AAX antara Gold Coast dan Kuala Lumpur yang mana pada tahun 2019 ia bernilai lebih daripada AUD$200 juta kepada ekonomi tempatan dan negeri. - DagangNews.com