Airbus Helicopters komited kukuhkan hubungan di Malaysia, penuhi keperluan pertahanan negara | DagangNews Skip to main content

Airbus Helicopters komited kukuhkan hubungan di Malaysia, penuhi keperluan pertahanan negara

Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal menunjukkan model helikopter H225M, di Subang pada 30 April 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 April - Airbus Helicopters komited untuk mengukuhkan lagi hubungannya di Malaysia dan memenuhi keperluan pertahanan negara. 

 

Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal berkata, Malaysia merupakan pasaran penting dan pengeluar helikopter Eropah itu sedang berusaha meningkatkan bahagian pasarannya secara berterusan dalam tempoh lima tahun terutamanya dalam barisan ketenteraan.

 

"Kami menjangkakan peningkatan permintaan ketenteraan untuk operasi khas, mencari dan menyelamat serta pengangkutan taktikal dalam Malaysia dan serantau. Helikopter Airbus H225M adalah paling sesuai untuk memenuhi keperluan pelbagai misi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Helikopter H225M hari ini digunakan oleh sepuluh pasukan tentera di seluruh dunia dengan lebih 170 unit dihantar, lebih 40 pesanan dan 50 lagi agensi kerajaan sokongan dalam misi pencarian dan menyelamat, empat daripada sepuluh pelanggan H225M itu berada di Asia-Pasifik, termasuk Malaysia.

 

Penggunaan meluas H225M menggariskan kejayaan yang membolehkan pengendali menggunakan dengan pantas dalam persekitaran semua cuaca. 

 

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini mengendalikan 12 unit H225M dari pangkalannya di Kuantan dan Labuan. 

 

Direka khas untuk misi yang paling mencabar, H225M pelbagai fungsi ini telah mengambil bahagian secara aktif dalam latihan-latihan tentera dan misi kemanusiaan sejak sepuluh tahun yang lalu, termasuk misi penyelamat banjir, bantuan ketika pandemik, dan operasi menyelamatkan nyawa. 

 

Berdasarkan Belanjawan 2024, sejumlah dana telah diperuntukkan kepada TUDM untuk memperoleh 12 buah helikopter dan Airbus sedia untuk membekalkan unit H225M untuk pertimbangan apabila tiba masanya.

 

De Pascal menegaskan bahawa pertumbuhan dalam segmen ketenteraan akan mempengaruhi kedudukan Airbus di Malaysia dalam bentuk hubungan dan ekosistem yang sedia ada.

 

"Malaysia sudah mengenali keupayaan H225M dan dapat manfaat daripada pesawat umum yang boleh beroperasi dengan segera dan kos operasi yang rendah.

 

"Kami yakin bahawa H225M tambahan akan melengkapkan pesawat yang sedia ada di TUDM. Dengan ekosistem semasa, sebarang aset tambahan akan meningkatkan kecekapan bagi pihak tentera udara di semua peringkat," katanya.

 

Sementara itu, Airbus akan terus melabur bagi memodenkan kerja-kerja H225 sepadan dengan keperluan misi yang meningkat dan menaik taraf keselamatan. 

 

Pelaburan terkini juga memberi tumpuan kepada kotak gear utama yang dinaik taraf, pemasangan industri yang lebih baik, kemudahan penyelenggaraan, dan penambahbaikan kecekapan kos. - DagangNews.com