AiVAC: Barisan hadapan sektor agromakanan dijangka lengkap divaksin menjelang November nanti | DagangNews Skip to main content

AiVAC: Barisan hadapan sektor agromakanan dijangka lengkap divaksin menjelang November nanti

Ronald Kiandee

Ronald Kiandee

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kesemua barisan hadapan dalam sektor agromakanan negara dijangka lengkap divaksinasi menjelang November 2021 melalui Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC).

 

Mengumumkan perkara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, usaha tersebut adalah bagi membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi terhadap kumpulan sasar sektor agromakanan yang meliputi individu, syarikat termasuk ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

 

"MAFI akan melaksanakan AiVAC dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) yang akan melibatkan semua Jabatan dan Agensi di bawah MAFI di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah termasuk PPK dan PNK.

 

"Melalui program ini,  MAFI menjangkakan semua barisan hadapan sektor agromakanan akan lengkap divaksinasi menjelang November 2021. 

 

"Sebelum ini, MAFI juga telah menyokong dan memudah cara proses vaksinasi melalui syarikat-syarikat dalam sektor agromakanan melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas)," katanya.

 

Baca: Golongan muda digalakkan terap teknologi moden ke dalam sektor agromakanan - PM

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan (HPPN) Ke-46 yang disampaikan secara dalam talian hari ini.

 

Sambutan HPPN yang dijalankan secara maya itu turut disertai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Mengulas perkara sama, beliau memberitahu, perkembangan positif kadar vaksinasi harian yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan memberi keyakinan bahawa Pelan Pemulihan Negara dapat dijayakan bersama.

 

“Dalam hal ini, saya menyeru supaya seluruh warga Peladang, Penternak dan Nelayan untuk sama-sama menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan segera mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19.

 

"MAFI sentiasa prihatin dengan keperluan para peladang, penternak dan nelayan. 

 

"Kesemua peruntukan sama ada berbentuk peruntukan pembangunan semasa dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), mahupun peruntukan-peruntukan khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah bagi membantu para peladang, penternak dan nelayan untuk meneruskan projek dan aktiviti pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran," ujarnya. - DagangNews.com