Akhirnya….KLCI dibuka pada 1,600 | DagangNews Skip to main content

Akhirnya….KLCI dibuka pada 1,600

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Setelah hampir dua minggu didagangkan dalam julat yang terhad kerana kurang pemangkin kukuh, pasaran ekuiti tempatan berjaya mencecah paras rintangan ketika dibuka pagi ini.

 

Penanda aras indeks itu, FBM KLCI berprestasi lebih baik walaupun Wall Street sedikit tidak menentu.

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, FBM KLCI menokok 1,602.19 daripada paras yang ditutup semalam, 1,596.85. 

 

Indeks itu terus melonjak ke paras 1,597.13 hanya selepas 1 minit didagangkan, setakat 9.01 pagi. 

 

Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan ‘lebih tenang’ menjelang hujung minggu yang panjang bagi perayaan Tahun Baru Cina. 

 

“Namun, kami menjangkakan FBM KLCI akan terus menunjukkan trend meningkat sekali gus menguji paras 1,600 hari ini dengan pembelian saham-saham sarung tangan getah akan muncul selepas merosot sejak beberapa hari lalu. 

 

“Harga minyak mentah akan terus meningkat memandangkan Brent telah melepasi paras AS$61 setong,” ramal Rakuten Trade dalam nota kajiannya. 

 

Dalam pada itu, di peringkat global pula, Wall Street didagangkan tidak menentu memandangkan para pelabur berdepan kemungkinan pakej rangsangan ditangguhkan serta keputusan keuntungan syarikat. 

 

Jelas Rakuten Trade, walaupun kedua-dua S&P 500 dan Nasdaq berakhir menyusut, namun Dow Jones Industrial Average berjaya bertahan untuk menokok 62 mata melebihi paras 31,400 iaitu rekod tinggi baharu. - DagangNews.com