AKM Perlis bantu Warongku kukuhkan pasaran di utara tanah air | DagangNews Skip to main content

AKM Perlis bantu Warongku kukuhkan pasaran di utara tanah air

Mohamad Iman

KANGAR 26 Mac - Warongku, platform pemasaran dan perkhidmatan dalam talian 
mengukuhkan lagi pasarannya di utara tanah air melalui pendedahan yang diperolehi melalui Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini.

 

Platform yang mula dibangunkan sejak 2019 itu berjaya menarik perhatian pengunjung sepanjang program tiga hari bermula semalam itu.

 

Warongku, bukan sahaja terdiri daripada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tetapi juga dalam kalangan mereka yang mahu menjadi penghantar makanan.

 

Pegawai Operasinya, Zeffriezal Jaafar berkata, ramai usahawan termasuk golongan muda kehilangan pekerjaan yang mahu menjadi penghantar makanan telah mendaftar di booth mereka sejak semalam.

 

Menurutnya, platform yang menyediakan perkhidmatan e-dagang, penghantaran makanan dan penghantaran barangan tersebut kini sudah mempunyai kira-kira 5,000 vendor termasuk di platform e-dagang Warongmall miliknya.

 

“Matlamat platform ini adalah untuk membantu usahawan daripada PKS untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian dengan lebih mudah.

 

akm

 

“Malahan, hampir 90% vendor di platform kami terdiri daripada PKS. Selain memberi peluang kepada usahawan, ia juga membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak bekerja atau kehilangan kerja,” katanya.

 

Sementara itu, Zeffriezal berkata, platform yang dibangunkan dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui SME Corp Malaysia itu, kini aktif di Johor, Terengganu, Melaka, Kedah, Putrajaya dan Cyberjaya.

 

akm

 

Beliau berkata, sehingga kini, syarikat tersebut sudah mempunyai 1,300 penghantar makanan di seluruh negara.

 

“Program jelajah ini secara tidak langsung membantu kami untuk memperkenalkan Warongku dengan lebih meluas terutamanya di utara tanah air.

 

“Saya berharap menjelang suku ketiga tahun ini, Warongku dapat beroperasi di Perlis. Tambahan pula dengan sambutan baik yang kami terima semasa program ini,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, usahawan mahupun mereka yang ingin menjadi penghantar makanan boleh datang ke booth mereka bagi mendapatkan maklumat lanjut ataupun boleh mendaftar di aplikasi mereka.

 

“Pelan masa depan kami adalah untuk mengembangkan platform ini di seluruh negara termasuklah di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

 

“Selain itu, kami juga berharap platform ini dapat digunakan di peringkat Asia Tenggara supaya semua produk-produk PKS yang berada di platform kami dapat di eksport ke luar negara,” ujarnya. - DagangNews.com