KUALA LUMPUR 2 Dis - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melancarkan aplikasi diagnostik perakaunan yang dikenali MyBijakNiaga untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merekodkan transaksi perniagaan dan menyediakan penyata kewangan masing-masing.
Aplikasi itu juga berupaya untuk menyimpan dokumen sokongan untuk rujukan masa hadapan kerana dokumen ini penting untuk pengembangan perniagaan atau mendapatkan pembiayaan.
Selain itu, pengguna boleh melakukan ‘pemeriksaan kesihatan’ ke atas prestasi kewangan perniagaan mereka dan mendapatkan nasihat mengenai kedudukan perniagaan semasa mereka, semuanya daripada satu aplikasi mudah pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad berkata, beliau memuji usaha AKPK dalam membangunkan satu aplikasi praktikal yang bukan saja membantu usahawan PMKS menguruskan kewangan perniagaan dan mengembangkan keuntungan, malah turut menyediakan saluran untuk meningkatkan ilmu pengurusan kewangan perniagaan tanpa batasan.
"Keusahawanan kini bergerak pantas menuju pendigitalan, namun asas kejayaan dalam keusahawanan masih sama, iaitu seperti menyimpan rekod perniagaan secara tersusun dan menhasilkan penyata kewangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir pula berkata, literasi kewangan ialah satu langkah maju ke hadapan bagi perniagaan mikro dan kecil.
"Selain daripada bantuan bayaran balik, khidmat nasihat kewangan dan modul pembelajaran untuk PMKS, kami ingin memberikan sesuatu yang berguna dan praktikal untuk pemilik perniagaan mikro dan kecil gunakan setiap hari dalam memperkasakan pengurusan perniagaan mereka menerusi MyBijakNiaga," katanya.
MyBijakNiaga boleh diakses secara percuma dan mudah digunakan dengan penerangan yang jelas dalam Bahasa Melayu.
Walaupun ringkas, MyBijakNiaga ialah satu platform yang selamat dengan prosedur pendaftaran yang terjamin, dan yang paling penting, ia berteraskan hasil yang ingin dicapai.
Secara tidak langsung, ia membantu usahawan mikro dan kecil meningkatkan literasi kewangan, kawalan kewangan dan ilmu perniagaan mereka sepanjang penggunaan MyBijakNiaga.
Sehingga hari ini, hampir 2,000 PMKS telah berdaftar dengan AKPK untuk penggunaan MyBijakNiaga dan maklum balas yang diterima oleh pengguna adalah amat positif dan memberangsangkan.
Untuk akses percuma ke MyBijakNiaga, daftar melalui pautan ini: https://mybijakniaga.akpk.org.my. - DagangNews.com