AKS diperkukuh untuk B40, pertanian di ECER | DagangNews Skip to main content

AKS diperkukuh untuk B40, pertanian di ECER

AKS

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

KUALA LUMPUR 27 Julai - Inisiatif pembasmian kemiskinan, Projek Agropolitan Kelantan Selatan (AKS) terus diperkukuh bagi memanfaatkan golongan berpendapatan rendah (B40) di samping merancakkan lagi kegiatan industri pertanian di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata, usaha Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk mengurangkan kebarangkalian kemiskinan masa hadapan atau future poor telah membuahkan hasil melalui inisiatif holistik AKS.

"Sejak pelaksanaanya pada 2009, kita dapat lihat perubahan yang ketara dalam hidup para peserta hasil daripada komitmen dan usaha gigih mereka. Anak-anak peserta juga telah mendapat manfaat daripada persekitaran yang lebih selesa dan telah berjaya meningkatkan pencapaian akademik mereka.

"Justeru itu, saya harap agar jangka masa panjang projek AKS ini akan mencapai kemampuan dan terus meningkatkan taraf hidup peserta," katanya ketika lawatan kerja ke Agropolitan Kelantan baru-baru ini.

AKS

AKS merupakan inisiatif pihak kerajaan persekutuan menerusi ECERDC yang mula dilaksanakan pada tahun 2009.

Sejak dilaksanakan, inisiatif itu telah memberi manfaat kepada 590 peserta golongan miskin tegar dalam meningkatkan taraf hidup serta pendapatan mereka.

Para peserta dapat menikmati pendapatan bulanan yang lebih stabil dengan purata RM1,500 berbanding hanya RM400 sebelum menyertai projek tersebut.

Projek berkenaan memberi penekanan kepada pendekatan bersepadu yang melibatkan penempatan para peserta di dalam aktiviti primer perladangan kelapa sawit serta aktiviti sekunder seperti penanaman koko dan cili serta agrotourism.

Selain itu, penekanan kepada nilai komuniti dan peribadi turut ditekankan seperti program pembangunan modal insan, Latihan Kemahiran dan Keusahawanan  empower ECER serta Latihan Akademik empower ECER.

AKS

Di peringkat negeri Kelantan, program pembangunan modal insan ECERDC telah berjaya memberi manfaat kepada lebih daripada 24,458 rakyat yang terdiri daripada golongan B40. 

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Zulkifli Ya'acob berkata, projek berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah ahli keluarga mereka yang berpeluang menikmati kemudahan dan program yang ditawarkan.

"Peserta AKS ditempatkan semula di rumah baharu yang dibina oleh ECERDC dan diberikan pekerjaan dalam aktiviti perniagaan tani untuk memperoleh pendapatan mampan. Projek ini juga membantu ahli keluarga mereka yang turut dapat menikmati kemudahan menerusi projek ini.Dengan cara ini, mereka dapat dipersiap dengan cara menyeluruh agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Walaupun pandemik COVID-19 telah membawa pelbagai cabaran, ECERDC kekal komited membawa transformasi sosioekonomi kepada segenap lapisan masyarakat dan terus menyokong pembangunan serta inisiatif pertanian di AKS untuk manfaat rakyat di wilayah ini khususnya golongan B40 dan miskin tegar," jelasnya. - DagangNews.com