Aktiviti pelancongan bukan punca kluster rentas negeri - MAH | DagangNews Skip to main content

Aktiviti pelancongan bukan punca kluster rentas negeri - MAH

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Mac. - Penularan kes COVID-19 yang tinggi melibatkan aktiviti rentas negeri tidak berpunca daripada pergerakan pelancongan domestik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, meskipun jumlah kluster rentas negeri adalah tinggi, ia sebenarnya disumbangkan oleh kluster Tembok Mempaga di Pahang dengan 808 kes, kluster Pasai di Sarawak dengan 2,693 kes dan kluster Tembok Bukit Besi di Terengganu dengan 443 kes.

 

"Industri pelancongan terutamanya perhotelan telah mematuhi semua SOP yang ditentukan oleh Kerajaan dan MKN selain memperkenalkan persijilan kebersihan dan kesihatan “Clean & Safe Malaysia” untuk sektor penginapan, satu-satunya yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

 

"Industri berharap kerajaan dan MKN akan membenarkan pergerakkan rentas negeri secara bersasar dan terkawal, MAH juga telah mengemukakan cadangan SOP tambahan kepada MOTAC dengan mekanisma pergerakkan yang diselaraskan antara masa daftar masuk hotel dengan aplikasi MySejahtera sama ada melalui kenderaan persendirian ataupun penerbangan.

 

"Penginapan hotel telah terbukti selamat selama ini dan boleh dijadikan keperluan wajib untuk pergerakkan rentas negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Yap Lip Seng
Yap Lip Seng

 

Sejak 7 Disember 2020 sehingga 21 Mac, sebanyak 5,038 kes telah dikaitkan dengan kluster-kluster rentas negeri atau sekitar 1.5% kes keseluruhan.

 

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan memberitahu bahawa kerajaan telah mengesan 3,170 kes akibat kegiatan rentas negeri sejak 1 Januari. 

.

 

Jumlah tersebut juga bersamaan 0.95% dari jumlah kes keseluruhan negara.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerajaan juga boleh memberi kebenaran rentas negeri kepada individu-individu yang menghadiri aktiviti MICE, mesyuarat, konvensyen atau pameran dengan pendaftaran awal dan tempahan bilik hotel.

 

.

 

Ujarnya, saringan Covid-19 juga boleh dijadikan keperluan untuk mendapatkan kebenaran rentas negeri.

 

"Industri pelancongan adalah antara yang paling terkesan dan amat memerlukan ruang untuk menjana pendapatan untuk menjaga kelangsungan industri dan 3.6 juta orang yang bekerja dalam industri ini. 

 

"Pasaran domestik adalah satu-satunya harapan industri untuk bertahan sehingga pelancongan antarabangsa pulih, yang dijangka akan memakan masa yang lebih lama.

 

"UNWTO dan McKinsey baru-baru ini juga membuat anggaran pemulihan pelancongan hanya pada tahun 2024," tambah beliau lagi. - DagangNews.com