Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Feb. - Aktiviti pembuatan negara dijangka mengalami fasa peningkatan secara beransur-ansur dan terus di landasan pemulihan.
MIDF Research berkata, perkara itu dinilai berdasarkan kepada rantaian bekalan global yang kembali normal.
"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada beberapa risiko penurunan seperti kenaikan kadar jangkitan di peringkat global," jelas MIDF Research.
Semalam, IHS Markit melaporkan bahawa Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia susut kepada 48.9 pada Januari 2021 berbanding 49.1 bagi Disember 2020.
IHS Markit berkata, penyusutan pada Januari itu disebabkan oleh peningkatan jumlah kes COVID-19 serta sekatan perjalanan yang lebih ketat dalam usaha mengekang penularan virus.
MIDF Research memberitahu, jumlah yang dicatatkan itu adalah penyusutan keenam berturut-turut bagi sektor pembuatan negara susulan penurunan jumlah pesanan dan output baharu.
Sementara itu, pesanan eksport baharu kekal sederhana disebabkan oleh gangguan pasaran global dalam tempoh COVID-19.
Harga input pula meningkat ke tahap terpantas sejak Mei 2017 susulan kesukaran mendapatkan dan menerima barang akibat sekatan perjalanan yang ketat.
Kebanyakan negara luar mencatatkan pengembangan dalam sektor pembuatan seperti Australia, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Taiwan, China dan India.
Bagaimanapun, sektor pembuatan di Jepun dan Thailand menguncup susulan kejatuhan PMI. - DagangNews.com