Al Rajhi kembangkan bank digital, lantik Ikram Khaliq sebagai ketua bank digital baharu | DagangNews Skip to main content

Al Rajhi kembangkan bank digital, lantik Ikram Khaliq sebagai ketua bank digital baharu

Dari kiri, Arsalaan Ahmed, Zulkiflee Hashim, John Roger Winfield, Lim Jit Jee dan Ikram Khaliq memotong riben pada majlis perasmian pejabat baharu Al Rajhi Bank Malaysia di Menara Hap Seng, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 13 Feb - Al Rajhi Bank Malaysia merancang untuk mengembangkan bank digital dengan pelancaran rasmi pejabat baharu di Menara Hap Seng 3 di ibu negara, yang menempatkan pasukan bank digital Al Rajhi Bank Malaysia selain beberapa unit lain.

 

Al Rajhi Bank Malaysia, yang dimiliki oleh Al Rajhi Bank Kingdom of Saudi Arabia, turut mengumumkan pelantikan Ikram Khaliq sebagai ketua bank digital semasa pelancaran itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Bank Malaysia, Arsalaan (Oz) Ahmed berkata, mempunyai pengalaman antarabangsa 16 tahun menjadi mentor dan membina firma teknologi dalam industri teknologi kewangan serta teknologi insurans (insutech).

 

Menurutnya, bank itu membuat pelaburan yang besar dalam inovasi digital dalam pada membina asas bank digital yang tertumpu kepada pelanggan, dan gembira mendapatkan Ikram untuk menerajui pasukan ini.

 

"Kami beraspirasi untuk menetapkan standard kecemerlangan baharu bagi perbankan Islam di Malaysia menerusi perbankan digital terbaik dan kelasnya dan menyalurkannya untuk menfaat pelanggan individu serta perniagaan Al Rajhi Bank Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Arsalaan berkata, ia sejajar dengan tonggak strategik Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 yang menumpukan kepada kemajuan pendigitalan sektor kewangan selain kepimpinan dalam kewangan Islam, disokong penekanan kerajaan terhadap digital teknologi seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

 

Selain pejabat baharu di Menara Hap Seng, Al Rajhi Bank Malaysia mempunyai ibu pejabat korporat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

 

Yang turut hadir pada majlis perasmian pejabat baharu itu ialah Pengerusinya, John Roger Winfield; ahli-ahli lembaga pengarah iaitu Zulkiflee Hashim dan Lim Jit Jee.- DagangNews.com