KUALA LUMPUR 5 Feb – Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia membuka tirai program pengalaman percutian yang dinamakan ‘Ford Ranger Getaways’ bertujuan menyediakan platform eksklusif untuk para pelanggan dan bakal pelanggan Ford yang berkongsi minat yang sama.
Program yang julung kalinya dicipta untuk industri ini bagi menyediakan pengalaman unik Live the Ranger Life melalui beberapa pengembaraan dalam negara yang dipilih khusus.
Platform ini dicipta berdasarkan maklum balas daripada para pelanggan yang menunjukkan keinginan mereka untuk berkenalan dan bergaul dengan individu lain yang berkongsi minat yang sama, meluaskan lagi gaya hidup mereka untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan bekerja dan meluangkan lebih masa berkualiti bersama keluarga dan sahabat handai.
Program ini terbuka untuk semua pelanggan Ranger bermula dari 5 Februari 2022, Ford Ranger Getaways merangkumi pelbagai kategori tarikan bagi memenuhi kehendak warga Malaysia yang inginkan pengembaraan jangka pendek di dalam negara, samada bersendirian, bersama teman-teman dan keluarga ataupun untuk mereka yang sekadar mahu berkumpul bersama mereka yang mempunyai minat yang sama.
Setiap percutian direka khusus untuk menonjolkan kepelbagaian gaya hidup Ford Ranger – keseronokan bersiar-siar di bandar atau mengembara lasak atau sekadar berjalan-jalan cari makan.
Untuk julung kalinya, pengalaman off-road di sekitar Sepang akan diadakan pada 26 Februari bagi pemilik Ranger Raptor dan pada 27 Februari pula bagi semua pemilik Ranger lain.
Pada masa sama, program ini bertujuan untuk membantu menggalakkan pelancongan domestik yang terkesan teruk disebabkan pandemik dan di samping membantu seramai mungkin peniaga tempatan yang turut terkesan. Jenis perniagaan mereka dipilih berdasarkan cabaran yang selari dengan nilai teras Ranger Life.
Sebanyak 15 pengalaman percutian untuk dipilih dan aktiviti-aktiviti ini akan diperbaharui dari masa ke masa bagi memastikan percutian tersebut kekal menarik.
Terdapat pilihan perjalanan separuh hari, seharian atau bermalam dengan harga bermula dari serendah RM98 seorang sehingga RM2,133 seorang bergantung kepada pakej yang dipilih.
Pengarah Urusan, Sime Darby Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair berkata, transformasi Ranger dari tahun ke tahun bermula sebagai medium pengangkut yang praktikal sehingga kini menjadi peneraju segmen trak versatil dan premium yang diminati untuk kegunaan kerja, urusan keluarga dan bersantai di samping mengekalkan DNA Built Ford Tough.
‘’Selaras dengan lima prinsip asas intipati penjenamaan Live the Ranger Life baharu, Ford Ranger Getaways menyasarkan untuk menawarkan pengalaman yang melangkaui jangkaan orang ramai terhadap trak pikap,” kata beliau.
Slot terhad untuk Pengalaman di Sepang dengan potongan 50%
Bersempena dengan pelancaran Ford Ranger Getaways, pelanggan akan memperoleh penjimatan sebanyak 50% untuk pengalaman on and off-road di sekitar Sepang yang akan diadakan pada 26 Februari bagi pemilik Ranger Raptor dan 27 Februari bagi semua pemilik Ranger lain.
Setiap peserta dibenarkan membawa seorang teman tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Pelanggan disarankan untuk segera mendaftar bagi merasai pengalaman eksklusif ini kerana slot hanya terhad kepada 36 pendaftaran terawal.
Pelanggan hanya perlu menempah Ford Ranger Getaways secara dalam talian melalui platform e-dagang SDAC-Ford yang baharu - www.sdacford.com.my/shop.
Melalui platform ini, pelanggan boleh memilih pengembaraan yang diidamkan serta tarikh dan terus membuat transaksi pembayaran dengan mudah.
Pengesahan tempahan akan dihantar melalui e-mel setelah proses tempahan selesai.
Bersempena dengan Tahun Baru Cina, SDAC-Ford akan memaparkan enam rencana Ford Ranger Getaways yang akan disiarkan setiap Sabtu bermula 12 Februari 2022 di semua saluran media sosial Ford Malaysia. – DagangNews.com