Alami tekanan margin ketika PKP 3.0, sesetengah PKS perlu bantuan berbeza - kaji selidik Maybank | DagangNews Skip to main content

Alami tekanan margin ketika PKP 3.0, sesetengah PKS perlu bantuan berbeza - kaji selidik Maybank

 

 

 

KUALA LUMPUR 18 Nov - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan pelbagai cabaran sengit sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 akibat gangguan ekonomi berskala besar, menurut kaji selidik yang dijalankan Maybank. 

 

Cabaran-cabaran ini termasuklah dari segi penurunan dalam permintaan (34%), kelewatan penerimaan hutang (31%), kekurangan atau kelewatan dalam mendapatkan bekalan (18%), menyesuaikan diri dengan operasi dan proses-proses baharu (11%) dan tenaga kerja tidak mencukupi (6%).

 

Dari segi kesan terhadap jualan semasa PKP 3.0 pula, didapati 61% responden mengalami penurunan dalam jualan manakala 25% menyaksikan jualan kekal tidak berubah.

 

Sebanyak 14% melaporkan jualan yang lebih baik disebabkan oleh ketangkasan mereka dalam strategi perniagaan dan tindak balas yang cepat terhadap keperluan pasaran.

 

Kaji selidik ini juga mendapati 99.6% daripada responden masih beroperasi, walaupun 21.2% terpaksa ditutup sementara semasa PKP 3.0, manakala hanya 0.4% telah berhenti beroperasi. 

 

Kira-kira 61% dilaporkan mempunyai aliran tunai yang boleh mengekalkan mereka selama lebih daripada 7 bulan sekiranya PKP 3.0 berterusan, manakala sekitar 24% boleh terus kekal di antara 4 hingga 6 bulan dan 15% hanya selama 3 bulan atau kurang. 

 

Dalam pada itu, 97% responden dapat meneruskan kewajipan pembayaran mereka, sama ada mengikut kewajipan mereka sebelum pandemik atau di bawah terma baharu menerusi program bantuan pembayaran balik manakala 37% daripada responden ini akan dipantau dengan teliti untuk potensi kelemahan atau cabaran yang mungkin mereka alami dalam memenuhi kewajipan pembayaran balik.

 

Berdasarkan kaji selidik itu juga, kebanyakan PKS di negara ini berupaya memanfaatkan teknologi digital ke dalam operasi perniagaan mereka ketika tempoh mencabar ini dengan 67% menyatakan sudah menggunakan teknologi digital.

 

Secara umumnya, kaji selidik Maybank membayangkan bahawa pelanggan PKS mengalami tekanan pada margin tunai dan bagi sesetengah pihak, ia memberi kesan negatif akibat penurunan dalam permintaan atau kelewatan dalam penghutang atau bekalan. Bagi kebanyakan kaji selidik responden, mereka juga mengalami peningkatan dalam kos operasi. 

 

"Oleh itu, bantuan yang diperlukan oleh pelanggan ini berbeza daripada modal ekuiti tambahan kepada barisan modal kerja, yang mana sesetengahnya mungkin memerlukan sokongan kredit. 

 

"Selain itu, keupayaan untuk membantu PKS ini mengalihkan perniagaan mereka ke platform digital akan membantu mereka mengurangkan kos operasi dan mengembangkan jangkauan pasaran dan pangkalan pelanggan," jelasnya. 

 

Kaji selidik Maybank yang dijalankan pada September dan Oktober 2021, merupakan sebahagian daripada aktiviti yang lebih luas yang dijalankan untuk pelanggan-pelanggan bukan runcit dan korporat di Malaysia.

 

Ia dijalankan untuk memahami sepenuhnya bagaimana PKP 3.0 telah memberi kesan kepada pelanggan-pelanggan PKS dalam 5 kategori iaitu kewangan, teknologi, perniagaan, rangkaian bekalan dan manusia. 

 

Pada masa sama, ia bertujuan untuk membolehkan umpulan mengukur kestabilan kewangan pelanggan-pelanggan dan mengenal pasti sebarang bantuan tambahan yang boleh diberikan kepada PKS.

 

Mengulas mengenai perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata, pihak bank terus membantu pelanggan-pelanggan PKS. 

 

Antaranya termasuklah dengan memanjangkan pinjaman tambahan untuk menyokong momentum pertumbuhan mereka dan menyediakan akses pantas kepada pinjaman dengan memanfaatkan jaminan melalui Credit Guarantee Corporation & Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan  serta menawarkan penyelesaian digital. 

 

Bagi pelanggan  yang tidak dapat membayar komitmen mereka, beliau menyatakan Maybank boleh membantu dalam memanfaatkan Dana Bantuan Kerajaan untuk melanjutkan pinjaman, serta menyediakan alternatif kewangan lain dan penyelesaian digital.

 

"Maybank mempunyai keupayaan dalam bidang ini seperti melalui pembayaran digital kami dan platform Sama-Sama Lokal serta aplikasi Biz dalam talian dan keupayaan pembiayaan yang boleh meningkatkan perniagaan PKS dengan kos yang minimum atau tanpa kos.

 

“Melalui kaji selidik ini, kami mempunyai data terperinci yang membolehkan kami menawarkan PKS bantuan yang sesuai untuk memanfaatkan pembukaan ekonomi serta memenuhi permintaan yang dijangka akan muncul beberapa bulan akan datang," jelas beliau. - DagangNews.com