KUALA LUMPUR 5 Dis - Bursa Malaysia terus mencatat aliran keluar asing sebanyak RM301.2 juta pada minggu lalu, meningkat 3.7 kali ganda berbanding minggu sebelumnya berjumlah RM81.9 juta.
Di sebalik minggu dagangan yang pendek berikutan cuti umum sempena pembentukan kerajaan perpaduan pada Isnin lalu, pelabur asing terus menjual ekuiti tempatan buat minggu ketiga berturut-turut.
Laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati pelabur mengambil untung selepas kenaikan mendadak barometer FBM KLCI pada minggu sebelumnya apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai Perdana Menteri.
Ia menyaksikan jualan bersih setiap hari pada minggu berakhir 2 Disember 2022 kecuali pada Khamis, apabila pelabur asing membeli bersih ekuiti sebanyak RM77.7 juta.
Aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM292.8 juta ekoran ketidaktentuan pembentukan Kabinet, yang akhirnya diumumkan pada malam tersebut.
"Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk pada minggu lalu ialah teknologi sebanyak RM72.8 juta diikuti utiliti (RM40.3 juta) dan pembinaan (RM39.4 juta).
"Sektor yang mencatat aliran keluar paling tinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM153.5 juta), penjagaan kesihatan (RM128.1 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM101.5 juta)," katanya dalam laporan tersebut hari ini.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula menyaksikan aliran masuk yang kukuh di tengah-tengah arena politik yang stabil berikutan pembentukan kerajaan perpaduan.
Pelabur institusi tempatan membeli RM431.2 juta ekuiti pada minggu lalu, tertinggi sejak minggu berakhir 30 September 2022 sebanyak RM669.2 juta.
Mereka memulakan dagangan dengan menjual ekuiti sebanyak RM10.7 juta sebelum menjadi pembeli bersih pada hari berikutnya dengan merekodkan aliran masuk paling tinggi pada Jumaat sebanyak RM301.5 juta.
Sebaliknya, pelabur runcit muncul penjual bersih ekuiti pada minggu lalu setelah membeli ekuiti selama dua minggu berturut-turut sebanyak RM130.1 juta.
Pada minggu tersebut, mereka membeli ekuiti sebanyak RM21.4 juta pada Selasa sebelum kembali menjual ekuiti pada Rabu hingga Jumaat dengan aliran paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM128.4 juta.
MIDF Research mendapati pelabur antarabangsa telah membeli ekuiti selama 26 minggu daripada 48 minggu setakat tahun ini sebanyak RM5.53 bilion.
Pelabur institusi tempatan pula menjual RM7.75 bilion ekuiti selama 32 minggu manakala pelabur runcit pula sudah membeli RM2.04 bilion ekuiti selama 30 minggu setakat tahun ini.
Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing dan tempatan masing-masing sebanyak 61.6% dan 7.6% manakala dagangan pelabur runcit susut 10.5%.
Minggu lalu, FBM KLCI susut 4.74 mata atau 0.32% kepada 1,481.8 mata manakala ringgit mengukuh 2.15% berbanding dolar AS untuk mengakhiri dagangan Jumaat pada RM4.3880. - DagangNews.com