Aliran keluar asing terus meningkat kepada RM511.51 juta | DagangNews Skip to main content

Aliran keluar asing terus meningkat kepada RM511.51 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jun - Aliran keluar asing daripada Bursa Malaysia bagi minggu berakhir 17 Jun 2022 meningkat kepada RM511.51 juta berbanding RM436.91 juta, minggu sebelumnya. 

 

Laporan aliran dana mingguan MIDF Research menunjukkan pelabur asing merupakan penjual ekuiti bagi setiap hari dagangan kecuali Selasa yang merekodkan aliran masuk sebanyak RM9.38 juta. 

 

Jualan ekuiti paling tinggi direkodkan pada Isnin dan Rabu masing-masing sebanyak RM163.2 juta dan RM146.28 juta.

 

"Terdapat 3 sektor yang menunjukkan aliran keluar asing paling tinggi iaitu perkhidmatan kewangan, produk perindustrian dan perkhidmatan serta utiliti masing-masing sebanyak RM141.6 juta, RM105.7 juta dan RM83.9 juta. 

 

"Sektor perladangan pula menyaksikan pembelian asing yang lebih tinggi sebanyak RM61.8 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Setakat ini, menurut firma itu, dana antarabangsa merupakan pembeli bersih ekuiti selama 17 daripada 24 minggu, dengan mencatat aliran masuk sebanyak RM6.45 bilion.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan terus menjadi pembeli bersih ekuiti sekali lagi sebanyak RM288.68 juta, selepas menjadi penjual bersih ekuiti selama 4 minggu berturut-turut sejak minggu berakhir 13 Mei lalu. 

 

MIDF Research berkata, pelabur institusi memulakan minggu lalu sebagai pembeli bersih ekuiti sebanyak RM99.89 juta pada Isnin, pembelian terbesar sebelum kembali menjual semula ekuiti pada hari berikutnya sebanyak RM21.13 juta. 

 

"Mereka telah menjadi penjual bersih ekuiti selama 19 daripada 24 minggu sepanjang tahun ini. Setakat ini, mereka telah menjual RM7.98 bilion ekuiti," tambahnya.

 

Sementara itu, pelabur runcit pula meneruskan pembelian ekuiti sepanjang minggu lalu sebanyak RM222.85 juta.

 

Pembelian ekuiti paling tinggi direkodkan pada Rabu dan Isnin masing-masing sebanyak RM63.89 juta dan RM63.31 juta.

 

"Selama 15 daripada 24 minggu setakat tahun ini, mereka membeli ekuiti tempatan, yang kini berjumlah RM1.53 bilion," jelasnya.

 

Dari segi penyertaan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) pelabur asing, pelabur institusi dan pelabur runcit masing-masing menunjukkan pertumbuhan mingguan pada 47.61%, 7.98% dan 3.04%. - DagangNews.com