Aliran masuk pelabur asing dalam ekuiti Malaysia lonjak hampir 3 kali ganda kepada RM680 juta pada Januari 2024 – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Aliran masuk pelabur asing dalam ekuiti Malaysia lonjak hampir 3 kali ganda kepada RM680 juta pada Januari 2024 – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Aliran masuk pelabur asing dalam ekuiti Malaysia melonjak hampir tiga kali ganda kepada RM680 juta pada Januari 2024 berbanding RM260 juta bagi Disember 2023, menjadikannya pembelian bersih bagi bukan ketiga beturut-turut.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, aliran masuk tersebut mengurangkan jualan bersih terkumpul mereka sejak krisis kewangan global kepada RM33.3 bilion.

 

Menurut firma penyelidikan itu, sebahagian besar pegangan saham asing pasaran mungkin tidak berubah daripada paras 19.5% pada penghujung 2023.

 

Selain Malaysia, firma itu berkata pelabur asing turut membeli ekuiti Indonesia (AS$390 juta) dan Filipina (AS$60 juta) namun menjual ekuiti Thailand (AS$600 juta) dan Vietnam (AS$20 juta).

 

“Bagi ekuiti Malaysia, jualan bersih pelabur asing yang terkumpul dalam tempoh 12 bulan hingga Januari 2024 ialah 0.1% daripada jumlah permodalan pasaran pada RM1.86 trilion,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB menyatakan bahawa lima saham teratas yang dibeli pelabur asing pada Januari (mengikut nilai) adalah YTL Power International Bhd, Malayan Banking Bhd (Maybank), Sime Darby Bhd, IJM Corp Bhd dan Gamuda Bhd.

 

Sementara itu, lima saham teratas dijual mereka adalah Malaysia Airports Holdings Bhd, Press Metal Aluminium Holdings Bhd, UMW Holdings Bhd, RHB Bank Bhd dan MyEG Services Bhd.

 

Mengulas tentang pelabur tempatan pula, firma penyelidikan itu berkata pelabur runcit telah menjual RM660 juta ekuiti Malaysia pada Januari 2024, tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding aliran keluar RM90 juta pada Disember 2023.

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan catat aliran keluar lapan kali ganda lebih rendah pada RM20 juta bagi Januari 2024 berbanding RM160 juta bulan sebelumnya.

 

“Purata nilai dagangan harian (ADTV) meningkat kepada RM3.35 bilion pada Januari daripada RM3.09 bilion dalam bulan sebelumnya, dengan pergerakan pelabur asing (kecuali urus niaga langsung) sebanyak 28.9%, mankala pelabur institusi dan pelabur runcit masing-masing pada 44.7% dan 26.3%,” tambahnya.  - DagangNews.com